Baru-baru ini, mereka telah melancarkan sebuah lagi model di bawah siri Xtraordinary atau X iaitu Honor 8X. Tidak mahu membuang masa, mari saya bawa anda untuk menyelami peranti yang berasal dari China ini.
REKAAN LUARAN
Sejak Huawei P20 Pro dilancarkan, dapat diperhatikan fesyen binaan pada peranti Huawei dan Honor juga telah berubah. Malah, kita juga dapat lihat peranti kelas pertengahan mula menerima reka bentuk yang setaraf dengan model kelas atasan.
Perkara itu turut berlaku pada Honor 8X kali ini. Bermula dengan panel belakangnya, Honor 8X ini kelihatan hampir sama dengan Honor 10, namun ia mempunyai dua tekstur yang belum pernah dilihat di mana-mana peranti Huawei atau Honor sebelum ini.
Bagi kamera pula, dua lensa dipasang secara menegak dan berasingan di bucu kiri peranti. Melihat kepada lensa kameranya mengingatkan saya kepada model Honor View 10, cuma ia dipasang secara melintang.
Selain itu, Honor 8X ini mempunyai rekaan yang hampir sama dengan peranti-peranti Honor yang lain. Pengimbas cap jari di panel belakang, butang kawalan bunyi dan kuasa dibahagian kanan serta ruangan slot kad sim dan mikroSD di sebelah kiri. Pembesar suara mono, bicu audio dan bicu mikroUSB pula berada di sisi bawah peranti.
Ia dibantu oleh saiz takuk yang bersesuaian dibahagian atas panel skrin LTPS LCD 6.5-inci yang ada pada telefon ini. Tambahan pula, sensor imbasan cap jari yang dibawa kebahagian belakang juga membolehkan bahagian dagu peranti dibina dengan agak nipis.
ANTARAMUKA
Sejujurnya saya agak kecewa dengan antaramuka yang ada pada peranti ini. Ia menggunakan sistem EMUI 8.2 yang berasaskan Android 8.1 Oreo. Namun, apa yang mengecewakan ialah lambakan aplikasi pra-pasang dan bloatware-nya.
Bagi saya, adalah lebih baik untuk pihak Huawei menggunakan sistem yang lebih ringan dan hampir kepada Android tulen. Ini sekaligus membenarkan pengguna untuk memilih sendiri aplikasi yang mahu digunakan selain menjimatkan ruangan simpanan dalaman peranti.
Bagaimanapun, untuk berlaku adil, antaramuka pada Honor 8X ini juga mempunyai beberapa ciri menarik. Antaranya ialah app drawer. Walaupun saya lebih suka menggunakan paparan standard, sokongan app drawer ini membolehkan pengguna mempunyai pilihan untuk mengubahsuai paparan mengikut keselesaan mereka.
Tambahan lagi, ia juga membenarkan pengguna mengubahsuai beberapa perkara lain. Antaranya ialah menetapkan jumlah baris dan lajur aplikasi yang ada pada Home screen, menyorokkan takuk serta menukar tema. Ride Mode? Bagi saya tidak perlu, namun mungkin pengguna lain mempunyai pandangan berbeza.
Selain itu, ia turut hadir dengan beberapa kawalan gerakan yang biasa ada pada peranti EMUI sebelum ini.
Bagi menyimpulkan antaramuka untuk Honor 8X ini, boleh saya katakan ia agak baik dan lancar namun ada beberapa perkara yang boleh dinaik taraf oleh pihak Huawei dan Honor.
KEUPAYAAN DALAMAN
Seperti yang saya katakan di awal tadi, Honor lebih mementingkan kualiti kamera berbanding kualiti perkakasan dalaman. Namun, itu tidak bermakna Honor 8X ini tidak mempunyai spesifikasi yang baik.
Disokong oleh cip kelas pertengahan terkini dari HiSilicon, Kirin 710, telefon ini dapat melakukan tugasan biasa dengan standard yang diharapkan pada sebuah peranti tahun 2018.
Bermain permainan video popular seperti PUBG Mobile dan Asphalt 9: Legends juga adalah memuaskan. Ia ditambah lagi dengan paparan yang luas, memang syok habis.
Mengenai pengurusan memori pula, selama lebih kurang seminggu menggunakan peranti ini, saya telah mengalami situasi peranti beku atau hang. Namun ia hanya berlaku sekali sahaja, mungkin kerana terlalu panas atau terlalu banyak aplikasi di balik tabir.
Bagi sistem keselamatan, Honor 8X ini boleh dinyakkunci dengan agak baik melalui pengesanan wajah dan imbasan cap jari. Namun jika perlu memilih, saya lebih cadangkan anda untuk menggunakan imbasan cap jari berbanding pengesanan wajah.
PRESTASI KAMERA
Dengan kamera utama dwi-lensa 20MP f/1.8+2MP serta lensa tunggal 16MP f/2.0 bagi kamera swafoto, ia nampak seolah-olah spesifikasi kamera yang ada pada peranti kelas atasan, atas kertas.
Jadi, bagi menguji kebolehan sebenar kamera yang ada pada Honor 8X ini, saya telah mengambil beberapa keping gambar dengan pelbagai senario persekitaran dan menggunakan fungsi yang berbeza.
Kualiti gambar di kawasan luar pada waktu siang adalah baik
Fungsi AI pada kameranya juga membantu dalam menonjolkan lagi tona warna objek
Ketepatan bokeh pada peranti ini masih boleh diperbaiki
Mengambil gambar zoom juga nampak mengurang kualiti imej objek secara minimal
Swafoto dapat dihasilkan dengan agak baik
Imej pada waktu malam juga tidak mengecewakan
Bagi rakaman video pula, peranti ini boleh merakam dengan kualiti 1080p pada 30fps/60fps. Rakaman secara slow-mo pula boleh dilakukan sehingga 480fps, namun kualitinya agak sederhana.
KETAHANAN BATERI
Honor 8X dikuasakan oleh bateri berkapasiti 3,750mAh, melebihi kapasiti purata bateri peranti tahun ini, 3,500mAh. Walaubagaimanapun, ia masih dikatakan agak kecil memandangkan saiz paparannya ialah sebesar 6.5-inci.
Dengan penggunaan normal, peranti ini mampu bertahan selama lebih satu hari tanpa masalah. Manakala bagi penggunaan kerap pula, saya dapati Honor 8X ini mampu bertahan dengan agak lama iaitu lebih dari 16 jam.
Untuk pengecasan pula, pihak Honor mendakwa peranti ini memerlukan masa sehingga 2 jam 30 minit untuk dicas semula. Namun, selepas mencuba sendiri, saya dapati ia mengambil masa sekitar 2 jam 17 minit untuk dicas penuh dari 0% bateri.
Sedikit mengecewakan apabila Honor masih lagi menggunakan pengecasan mikroUSB berbanding USB-C yang semakin popular hari ini. Honor 8X juga tidak mempunyai sebarang pengecasan pantas.
KESELURUHAN
Kebanyakan daripada kami menjangkakan harga peranti ini adalah sekitar RM 1,100-RM 1,300, namun harga jualan rasminya hanyalah RM 949 sahaja.
Oleh sebab itu, beberapa kekurangan seperti kualiti kamera pada kurang cahaya dan bokeh yang kurang tepat serta pengurusan memori yang sederhana boleh dimaafkan.
Berkaitan
- (Ulasan) Honor Play - Peranti Yang Menidakkan Slogan Kata "Hobi Kami Mahal"
- (Ulasan) Honor 10 Lite - Cantik Pada Rupa Parasnya, Menawan Pada Harganya
- Pertarungan Kamera 48MP, Antara HONOR 20, Xiaomi Mi 9 Dan Vivo V15 Pro
- (Ulasan) Samsung Galaxy Note 9 - Layak Dinobatkan Sebagai Raja Android Bagi Tahun 2018
- (ULASAN) HONOR View20, Kamera Utama 48MP AI Ultra Clarity Yang Memang Dasyat
- (Ulasan) Siri Huawei MediaPad M5 - Tablet Yang Memimpin Keluarga Android
- Teringin Nak Beli Huawei Mate 10 Tapi Tak Cukup Modal, Honor View 10 Kan Ada
- HONOR 10 Lite - Telefon Kamera Swafoto 24MP Yang Membuktikan Peranti Bawah RM 800 Ini Bukan Biasa-Biasa
- Ulasan Honor 10 - Adakah Ini 'Flagship Killer' Untuk Tahun Ini
- Ini 5 Alasan Mengapa Kami Memilih HONOR View20 Sebagai Flagship Yang Berbaloi Untuk Dimiliki