(Ulasan) Honor 10 Lite - Cantik Pada Rupa Parasnya, Menawan Pada Harganya

Sebagai sub-jenama yang menawarkan peranti pada harga mampu milik, Honor dilihat berjaya menarik minat pengguna terutama dengan penghasilan peranti dengan rupa paras yang cantik.

Strategi tersebut turut digunapakai pada model terkini mereka yang tiba ke pasaran Malaysia, Honor 10 Lite. Ia dilancarkan pada 8 Januari 2019 yang lalu dalam satu majlis yang diadakan di KL Live Centre, Kuala Lumpur.

Selepas beberapa hari ia dilancarkan, kami dapati ramai yang mempersoalkan mengapa Honor melancarkan Honor 10 Lite memandangkan ia tidak jauh berbeza dengan model Honor 8X.

Untuk mengetahui mengapa, jom ikuti ulasan Honor 10 Lite penuh jujur daripada pihak kami kali ini.

Rekaan Luaran Yang Nampak Mahal


Walaupun Honor 10 Lite merupakan model lebih mampu milik dalam siri Honor 10, Honor tidak mahu ia kelihatan kurang premium.

Ia dibina menggunakan bahan plastik yang kelihatan seperti kaca. Tambahan pula dengan pantulan cahaya yang terhasil pada panel belakangnya.



Berbeza dengan Honor 10, dwi-kamera utama Honor 10 Lite ini dipasang secara menegak dengan tulisan AI CAMERA dibawah panel LED nya.

Telefon ini menggunakan paparan skrin jenis IPS LCD FHD+ berukuruan 6.21-inci dengan nisbah paparan 19.5:9.



Rekaan takuk yang kecil dibahagian atas skrin membolehkan ia memiliki nisbah skrin pada peranti yang melebihi 90%.



Sisi kanan peranti ini ditempatkan butang kuasa dan kawalan bunyi, slot dwi-nano sim hybrid di bahagian atas dan bahagian bawah pula diletakkan bicu audio 3.5mm, pembesar suara mono dan port pengecasan mikroUSB.

 



Sisi kiri pula tidak diletakkan apa-apa. Oh ya, dibahagian bawah skrin terdapat lampu notifikasi LED.

Antaramuka Yang Masih Jauh Dari Android Tulen


Seperti kebanyakan model terbaru keluaran Huawei dan Honor yang lain, peranti ini turut dijalankan dengan antaramuka EMUI 9 yang berlandaskan Android 9 Pie.



Honor memberi peluang untuk penggunanya melakukan banyak arahan tangan menarik melalui sistem ini. Antaranya membuat tangkapan skrin dengan tiga jari, flip-to-mute dan raise-to-wake.



Ia juga dilengkapi dengan ciri menarik lain seperti Digital Balance dan GPU Turbo 2.o.

Pengguna yang tidak menggemari rekaan takuk boleh menyembunyikannya melalui halaman Tetapan. Anda juga boleh memilih untuk menggunakan app drawer ataupun tidak.

Mampu Menjalankan Penggunaan Harian Dengan Mantap


Dilengkapi dengan cip pemprosesan HiSilicon Kirin 710 dan memori sebesar 3GB RAM, saya dapati peranti ini dapat menjalankan penggunaan harian biasa dengan sangat baik.

Penggunaan biasa yang saya maksudkan ialah dengan membalas kiriman WhatsApp, menonton video di YouTube, melayari Internet dan media sosial.



Bagaimanapun, ketika bermain permainan video Asphalt 9, saya dapati peranti ini mengalami sedikit masalah lagging walaupun tidak terlalu ketara.

Selepas menggunakannya selama lebih kurang 2 jam tanpa henti, peranti tidaklah berasa terlalu panas. Mungkin ia dibantu oleh binaan plastiknya.

Untuk prestasi sistem nyahkunci pula, imbasan cap jari dan pengesanan wajah dapat berfungsi dengan baik. Namun prestasi pengesanan wajah semasa pengcahayaan rendah adalah sederhana.

Kamera Swafoto Yang Baik Tapi Sederhana Bagi Kamera Utama


Honor mendatangkan tetapan dwi-kamera utama 13MP+2MP f/1.8 dan kamera swafoto tunggal 24MP f/2.0.

Ia mampu mengambil gambar yang baik dan berkualiti untuk dikirimkan di media sosial hasil bantuan AI.



Hasil tangkapan yang diperolehi menggunakan kamera utama adalah agak sederhana  pada waktu malam.



Walaupun ia dilengkapi dengan Night Mode, kualiti gambar dihadkan oleh keupayaan dari segi perkakas kamera.

Bagaimanapun, reputasi kamera peranti ini telah diperbaiki oleh prestasi kamera swafotonya.



Gambar swafoto yang diambil adalah sangat baik bagi sebuah peranti yang berharga kurang dari RM1,000.

Rakaman video pula nampak kurang memuaskan. Ini mungkin disebabkan ketiadaan sebarang penstabilan imej.

Tempoh Pengecasan Yang Agak Lama


Hadir dengan bateri berkapasiti 3,400mAh, Honor 10 Lite ini mampu mencapai screen-on-time sehingga 6 jam.

Namun untuk penggunaan harian biasa, ia mampu bertahan untuk sehari tanpa masalah.



Sebagai contoh, saya mengecas penuh peranti pada jam 8 pagi dan hanya perlu mengecas semula kira-kira jam 11 malam dengan bateri masih berbaki 10%.

Bercakap mengenai mengecas bateri, dengan menggunakan alat pengecas dari dalam kotak, peranti ini memerlukan lebih kurang 2 jam 8 minit untuk dicas penuh.

Selain tempoh pengecasan yang agak panjang, seperkara lagi yang saya kurang gemari ialah port pengecasan mikroUSB-nya.

Peranti Dengan Kualiti Yang Sesuai Pada Harganya


Secara kesimpulannya, Honor 10 Lite ini adalah salah satu peranti terbaik yang ada pada kelas harganya.

 



Ia ditawarkan pada harga RM749 bagi model 3GB RAM/32GB simpanan dalaman serta RM799 untuk 3GB/64GB simpanan dalaman.

Bagi mereka yang mahukan kualiti selfie yang cantik tanpa berbelanja besar, Honor 10 Lite ini telefon yang sesuai dengan anda.

Namun, untuk siapa yang kaki gaming, saya nasihatkan anda untuk mencari peranti lain.