Teringin Nak Beli Huawei Mate 10 Tapi Tak Cukup Modal, Honor View 10 Kan Ada

Hello apa khabar semua,

Sudah lama rasanya saya tidak mengulas peranti mudah alih dalam bentuk penulisan. Harus diingatkan, ini hanyalah pandangan saya selepas menggunakan peranti ini selama seminggu, anda bebas untuk bersetuju atau tidak.

REKA BENTUK LUARAN- Rekaan Yang Selalu Kita Nampak




Honor View 10 diperkenalkan bersama-sama Honor 7X pada majlis pelancaran yang diadakan di KLPAC 20 Disember yang lepas. Dalam  acara tersebut pihak Huawei mempersembahkan peranti flagship yang yang pada kami mirip Huawei Mate 10. Saya lihat tidak ramai yang teruja atau rasa kejutan adrenelin kerana banyak ciri yang diketengahkan sudahpun diperlihatkan pada Huawei Mate 10. Jangan salah faham, saya tidak merendahkan kemampuan peranti ini, saya cuma meng'iya'kan Honor View 10 adalah sebuah peranti yang sama dengan Huawei Mate 10.



Ianya mirip Mate 10 namun reka bentuk Honor View 10 ini langsung tidak menyerupai Mate 10. Rekaan belakangnya masih lagi mengekalkan rekabentuk ikonik Honor seperti yang dipersembahkan oleh model sebelum ini. Sekali pandang, rekaannya tidak ubah seperti Honor 7X dengan rekaan kamera dua bulat di bahagian belakang. Cuma Honor 7X meletakkan pengimbas cap jarinya dibahagian belakang.

Sewaktu pelancaran, mereka cuba untuk memberitahu rekaan bulat kamera pada peranti ini nampak comel, tetapi pada saya, ianya tidaklah secomel mana. Malah rekaan tertimbul di bahagian belakang juga menyebabkan peranti ini tidak stabil apabila diletakkan di atas meja, agak menjengkelkan jika anda seorang OCD.



Honor View 10 ini hadir dengan skrin berukuran 6 inci beresolusi 1080 x 2060 dengan nisbah 18:9. Harus diberi pujian kerana Honor membawakan satu rekaan trend untuk tahun 2017. Malah, sudah ramai yang mempersoalkan peranti yang tidak mempamerkan rekaan 18:9, ianya sudah menjadi satu kewajipan untuk setiap model.



Walaupun ukuran paparan skrin adalah besar, namun Honor masih lagi meletakkan butang pengimbas cap jari dibahagian hadapan. Butang sentuh kapasitif ini bertindak sebagai butang home/kembali. Anda boleh sahaja mengubah rekaan butang navigasi di tetapan Sistem Navigasi dan memilih 'Off-Screen Navigation' supaya anda akan dapat paparan yang lebih luas, menggunakan sepenuhnya rekaan skrin 18:9.

ANTARAMUKA EMUI 8.0- Idea Untuk Memudahkan Pengguna Adalah Satu Perkara Yang Harus Dipuji




Seperti yang anda semua tahu, jenama Honor merupakan satu jenama pecahan daripada Huawei. Maka peranti Honor dijalankan oleh sistem operasi Oreo 8.0 dengan antaramuka EMUI. Saya tahu, antaramuka EMUI yang dipersembahkan bukanlah untuk semua orang. Ada yang mungkin lebih meminati kulit muka yang lebih ringkas seperti yang dipamerkan oleh peranti stock android. Namun, tidak dapat dinafikan, walaupun EMUI mterdapat beberapa aplikasi bloatware, tetapi ada juga beberapa ciri yang pada saya adalah sangat berguna terutamanya pada anda yang tidak mahu buang masa muat turun aplikasi pihak ke-tiga.



 

Seperti contoh aplikasi Game Suite. Melalui aplikasi ini, anda boleh pilih mod khas ketika gaming. Pertama sekali "Gaming Mode". Melalui mod ini, prestasi peranti akan diutamakan namun penggunaan bateri adalah lebih besar. Ke-2 adalah "Smart Mode", mod ini akan mengimbangi antara prestasi peranti dan penggunaan bateri manakala "Power Saving Mode" pula adalah untuk anda yang pentingkan bateri.



Kemudian, Honor View 10 turut menyertakan aplikasi Microsoft Translator. Melalui aplikasi tersedia ini, anda boleh gunakan untuk alihan bahasa. Contohnya anda ke Korea dan tidak faham bahasa disana, aplikasi ini dapat membantu anda.



Jika anda pengguna peranti Huawei, anda sudah semestinya biasa dengan gerakan isyarat untuk shortcut yang ditawarkan oleh antaramuka EMUI 8.0 terbaru ini. Tetapi jika anda bukan pengguna peranti Huawei atau Honor, anda mungkin menghadapi sedikit kesukaran untuk menerima dan  membiasakan diri dengan semua gerakan isyarat yang disediakan.

Ciri seperti Smart Rotate pula pada pandangan saya mungkin antara ciri yang paling dekat di hati pengguna. Dengan ciri ini bermaksud orentasi paparan skrin diperbetulkan dengan kenalpasti orentasi wajah anda. Senang lah kalau nak main fon waktu berbaring.

Fungsi nyah-kunci 'Face Unlock' juga beraksi dengan cemerlang. Cuma kadang-kala ianya nampak bergelut pada waktu malam.

SPESIFIKASI- Prestasi Dan Kuasa Yang Sama Seperti Huawei Mate 10




Honor View 10 dibina dengan RAM sebesar 6GB dan simpanan dalaman 128GB. Disebut sebagai pesaing Huawei Mate 10, telefon pintar dari Honor ini turut mengetengahkan teknologi AI melalui Neural Processing Unit (NPU) yang didokong oleh cip pemprosesan berkuasa tinggi, Kirin 970.

Apa yang menarik tentang teknologi kecedasan buatan ini? Adakah ianya sekadar gimik untuk melariskan peranti di pasaran? Bagi kami, jawapannya adalah Ya dan Tidak.



YA, melalui aplikasi kamera yang diketengahkan, peranti ini mampu mengenalpasti jenis objek seperti makanan, manusia, haiwan, pokok dan sebagainya. Melalui teknologi AI, gambar yang dihasilkan akan disunting warnanya secara automatik untuk menghasilkan gambar dengan warna yang lebih sesuai. Seperti contoh warna merah untuk gambar bunga akan nampak lebih pekat dan terang, gambar makanan akan nampak lebih 'warm' untuk menimbulkan lagi tekstur makanan.

TIDAK, kerana pada kami teknologi AI yang dibawakan tidak mampu untuk mempelajari sepenuhnya sikap manusia secara menyeluruh. Ianya dapat mempercepatkan pembukaan aplikasi kegemaraan anda, tetapi bukankah implikasi ini sudah digunapakai melalui penyimpanan cache? Saya juga tidak pasti sejauh manakah kepintaran AI betul-betul di optimumkan untuk memudahkan penggunaan harian. Rasa seperti sama sahaja. Tidak pula saya rasa hari demi hari peranti ini semakin laju. Saya mungkin salah.



Sebagai peranti flagship, semua orang menjangkakan saiz bateri yang besar, dan ya, peranti ini dibekalkan dengan kapasiti bateri yang agak besar dengan 3,750 mAh. Pada kami, untuk penggunaan ringan harian, ianya mampu bertahan sehingga ke malam. Malah dengan adanya fungsi pengecasan pantas Huawei Super Change, melalui kajian yang saya lakukan, peranti ini mampu mengecas sehingga 50% dalam masa 30 minit. Pengecasan penuh mengambil masa lebih kurang 1 jam 50 minit.

KEUPAYAAN KAMERA- Bukan Lensa Leica, Namun Cukup Memadai Untuk Menggalas Tanggungjawab Sebagai Kamera Di Peranti Flagship




Untuk kamera, tidak banyak yang kami boleh rungutkan. Sistem dwi-kamera utama diletakkan hasil gabungan lensa 20MP RGB(f/1.8) dan 16MP Monokrom. Gambar yang dihasilkan memperlihatkan saturasi warna yang cantik, dynamic range yang tinggi dan perincian gambar yang memuaskan.









Melalui sistem RGB-Monokrom juga, seperti biasa anda boleh mengambil gambar yang pada ketika ini menjadi kegilaan ramai, iaitu BOKEH! Namun, pada pandangan kami hasil gambar dalam mod Potrait yang dibawakan oleh Huawei Mate 10 adalah lebih kemas. Anda boleh sahaja melaraskan efek kabur supaya kabur latar belakang nampak bersesuaian.





Dalam keadaan kurang cahaya, anda akan dapat lihat sedikit kelemahan kamera peranti ini. Anda mungkin perlukan tangan yang kukuh supaya peranti tidak bergoyang. Peranti ini juga akan memaparkan arahan supaya jangan bergerak selepas anda menekan butang shutter. Anda mungkin terpaksa mengambil beberapa kali gambar untuk mendapat hasil yang mantap, walaubagaimanapun, secara keseluruhannya, prestasi kamera dalam keadaan kurang cahaya tidak mengecewakan.









Kamera selfie 13MP di depan dengan aperture f/2.0 juga adalah memuaskan. Cuma mungkin wajah saya sendiri yang mengakibatkan gambar nampak tak menarik. Yang pastinya kulit saya tidak selicin itu. Ada tambahan filter disebalik kamera selfie.



Anda mungkin perlu melaraskan efek 'Beauty' supaya anda tidak kelihatan seperti sotong, dan sekali lagi, kamera depan dengan fungsi Bokeh! Tapi kabur di bahagian sisi objek/muka nampak kurang kemas terutamanya di bahagian rambut.


HARGA- Flagship Dengan Harga Bajet


Dengan harga RM 2099, pada kami ianya adalah peranti yang sangat berbaloi untuk dimiliki.  Ya, ianya satu peranti yang tidak sempurna, tetapi pada harga yang jauh lebih murah daripada Huawei Mate 10, kami tidak terkejut jika Honor View 10 akan menjadi peranti paling laris dipasaran.

Kekurangan? Untuk harga seperti ini, adalah tidak adil untuk saya membandingkan dengan peranti flagship kelas atasan yang lain. Sepanjang seminggu saya menggunakan peranti ini, isu peranti menjadi panas mungkin satu-satunya isu yang boleh saya katakan 'kurang'nya peranti ini.

Kelebihan? Harga bajet, spesifikasi flagship, kamera memuaskan. Boleh beli melalui online di laman sesarang Vmall

https://www.vmall.my/honor-v10