Ulasan ASUS ZenBook Pro 15, Komputer Riba Dengan Dua Skrin, Hadir Bersama Rekaan ScreenPad

ZenBook Pro 15

AsusTek Computer Inc., satu nama yang tidak perlukan sebarang pengenalan lagi di dalam dunia perkomputeran kini hadir dengan buah tangan terbaru mereka, ZenBook Pro 15 yang menampilkan cip pemprosesan Intel® Generasi ke-8 yang terbaru bersama-sama cip grafik NVIDIA 1050 Ti bagi memberikan prestasi komputer riba yang tiada tandingan dalam kelasnya. Dengan rekaan rangka badan senipis 18.9mm dan berat sebanyak 1.88kg, ZenBook Pro 15 menjadi calon terbaik bagi mereka yang mahukan komputer riba yang bersifat profesional dan berkemampuan tinggi.

Rekaan Luaran

Perkara pertama yang boleh dilihat di ZenBook Pro 15 ini adalah rangka badan unibody yang diperbuat daripada aluminium. Jenis binaan unibody dari bahan seperti aluminium dapat memberikan kesan penyejukan yang cepat kepada perkakasan Zenbook Pro.

Pada masa yang sama, rekaan ini memberikan rupa keseluruhan yang lebih kemas dan ringkas. ZenBook Pro 15 melalui 40 langkah metal spun bagi mendapatkan kemasan licin (spiral) di bahagian permukaan atas Zenbook Pro 15. Dengan skema warna biru gelap (Deep Dive Blue) dan ditambah dengan jaluran emas di bahagian tepi memberikan pengalaman mewah dan elit semasa menggunakannya.

 Input/Output

Asus menawarkan banyak pilihan dari segi port I/O. Antaranya adalah:

  • 2 x Type-C™ USB 3.1 Gen 2 (Thunderbolt™ 3)
  • 2 x Type-A USB 3.1 Gen 2
  • 1 x HDMI
  • 1 x kombo bicu audio
  • 1 x slot kad microSD

Asus juga menyertakan sekali dongle USB to LAN di dalam kotak bersama-sama pengikat kabel sebagai aksesori tambahan percuma.

Sistem Audio

ZenBook Pro 15 menggunakan sistem audio dari Harman Kardon yang berada di bahagian bawah komputer riba. Mikrofon yang disertakan juga menyokong fungsi pengecaman suara Cortana.

Rekaan Dalaman

Skrin ZenBook Pro 15 merupakan daya penarik utama bagi komputer riba ini. Ini kerana terdapat 2 skrin yang boleh digunakan untuk pelbagai aplikasi. Skrin utama menampilkan skrin 15.6-inci LED-backlit FHD (1920 x 1080) dengan nisbah paparan 16:9, 83% nisbah skrin ke badan, 178° sudut pandangan dan Delta E < 2. Skrin utama Zenbook Pro ini telah ditentukur oleh Pantone, satu badan yang menetukan ketetapan sesuatu warna. Warna yang dihasilkan nampak terang dan jelas disokong oleh liputan 100% Adobe RGB dan 132% sRGB.

Ini membantu memberikan menonton yang memukau dan mengujakan. Skrin utama ZenBook Pro 15 menyokong fungsi touchscreen yang boleh juga digunakan bersama ASUS Pen.

ZenBook Pro 15 juga menampilkan skrin kedua yang menjadi kelainan berbanding komputer riba  lain di luar sana. Skrin kedua yang dipanggil ScreenPad™ ini berukuran 5.5-inci FHD (1920 x x1080) Super IPS boleh digunakan sebagai skrin kedua untuk sebarang aplikasi. Aplikasi seperti Spotify, YouTube, NumKey, Kalkulator malah toolbar yang digunakan di dalam Microsoft Office turut disokong oleh ScreenPad™ ini. Fungsi yang ditawarkan ini sangat boleh meningkatkan produktiviti dan dalam masa yang sama memudahkan kerja seharian di pejabat.

ScreePad™ ini juga menyokong gesture tangan bagi mempercepatkan proses semasa bekerja secara tidak langsung mengurangkan proses kerja. ScreePad™ ini boleh diaktifkan dengan butang fn+F6. Pengguna diberikan pilihan untuk menggunakannya dalam bentuk skrin tambahan, toolbar dan juga touchpad biasa.

Skrin Tambahan

Papan Kekunci

Papan kekunci dari jenis chiclet ini berprestasi sama seperti papan kekunci dari jenis yang sama dengan bantuan lampu latar bagi memudahkan kerja-kerja menaip dilakukan di dalam keadaan kurang cahaya.

Cahaya dari papan kekunci juga dikategorikan sebagai mencukupi dan pengalaman menaip di ZenBook Pro 15 ini boleh dikatakan agak baik. Asus turut menyertakan pengesan cap jari yang boleh digunakan sebagai sistem nyahkunci peranti.

Prestasi

ZenBook Pro 15 menampilkan cip pemprosesan Intel® Core™ i7-8750H generasi ke-8, cip terbaru dari Intel. Terdapat juga variasi lain seperti Intel® Core™ i9-8950HK,  Intel® Core™ i5-8300H. Kad grafik berasingan turut diletakkan bagi membantu pemprosesan kerja-kerja grafik iaitu dari jenis NVIDIA® GeForce® GTX 1050 Ti yang mempunyai ruang memori VRAM 4GB GDDR5.

Secara keseluruhan, prestasi yang dihasilkan oleh komputer riba ini berada pada kategori lancar tanpa sebarang masalah. Dengan memori RAM sebesar 16GB, ZenBook Pro 15 dapat menangani sebarang tugas dengan mudah.

Gaming

ZenBook Pro 15 diuji dengan 2 genre permainan; MOBA dan juga FPS.

Untuk permainan MOBA, permainan Dota 2 menunjukkan prestasi yang baik untuk kebanyakkan tetapan grafik. Pada tetapan paling asas, fps (frame per second) yang dicapai adalah dalam lingkungan 90-110. Untuk tetapan paling tinggi pula, purata fps berada di tahap 40. Rupa keseluruhan di panel ZenBook Pro 15 ini mempunyai dinamik yang lebih tinggi berbanding panel IPS lain di luar sana dan kadang-kala membuatkan ia kelihatan terlampau terang.

Untuk permainan Fortnite pula, dengan tetapan automatik, purata fps yang dicapai adalah 60 fps. Untuk tetapan pertengahan, fps boleh mencecah sehingga 100 fps.

Secara keseluruhan pengalaman bermain di ZenBook Pro 15 adalah baik dan mempunyai responsif yang sangat baik.

Spesifikasi Lain

ZenBook Pro 15 menggunakan sistem operasi Windows 10 Home dan boleh dipertingkatkan kepada Windows 10 Pro. Ruang storan adalah dari jenis PCIe® SSD berkapasiti 1TB, berkemampuan menyimpan filem berdurasi kira-kira 500 jam.

Malanya, konfigurasi perkakasan seperti RAM tidak boleh dinaik taraf sendiri kerana tiada slot tambahan disediakan untuk perkara tersebut.

Kesimpulan

Siri ZenBook dari Asus sudah dikenali sebagai komputer riba premium dan ditujukan untuk golongan profesional yang memerlukan komputer riba yang mampu menangani pelbagai tugasan komputer. ZenBook Pro 2018 sekali lagi menghadirkan pencalonan komputer riba yang terbaik dari semua segi. Dengan pengenalan ScreenPad™, ZenBook Pro 15 mungkin mempunyai faktor X yang boleh difikirkan oleh pengguna-pengguna profesional dan elit.

  • Rekaan Luaran
  • Rekaan Dalaman
  • Prestasi
3.5

Summary

Rumusan

Wow
– Paparan yang terang
– Rekaan nipis dan elegan
– ScreenPad yang produktif
– Prestasi yang lancar dengan kad grafik yang agak berkuasa untuk kelasnya

Euww
– bukan komputer riba khusus untuk gaming
– penghasilan warna yang kadang-kala ‘oversaturated’
– penggunaan ‘touchscreen’ yang minimal

Zacky Venge

Zacky Venge

Add comment

Langgan Wiser.my

Langgan artikel melalui email dan terima notifikasi setiap kali artikel baru dikeluarkan

Hubungi Kami

03 8686 5408