(Ulasan) ASUS ROG Phone 5 - Misi Menjinakkan Snapdragon 888

Jika ada jenama yang mahir dalam pembuatan telefon gaming, memang nama ASUS ROG muncul dahulu kerana baik dari segi perkakas, perisian, dan pengalaman, mereka jarang untuk mengecewakan peminat.

Tahun ini ROG Phone 5 muncul dengan rekaan sedikit berbeza, lebih santai namun tetap menyajikan aestatik gaming, perkakas lebih berkuasa, dan perisian serta fungsi gaming lebih lengkap.



Sebelum ini pada Xiaomi Mi 11, kita melihat telefon ini masih belum mampu untuk menawan keliaran Snapdragon 888. Adakah ROG Phone 5 mampu untuk menyangkar Snapdragon 888? Teruskan membaca artikel ulasan ROG Phone 5 ini.

Spesifikasi



  • Dimensi: (172.8 x 77.3 x 10.3) mm, 238g

  • Skrin: AMOLED FHD+, 6.78 inci (1080 x 2400), 144Hz, HDR10+, Gorilla Glass Victus

  • Cip pemprosesan: 5nm Snapdragon 888G (Adreno 660)

  • Memori: RAM 16GB, Storan 256GB (UFS 3.1)

  • 4 kamera belakang: 64MP(f/1.8) Utama + 13MP(f/2.4) Sudut Lebar + 5MP(f/2.0) Makro

  • Swafoto: 24MP(f/2.5)

  • Bateri: 6,000mAh (USB Type-C) dengan 65W

  • Perisian: ROG UI berasaskan Android 11

  • Varian: 8GB,128GB: RM2,999 / 16GB, 256GB: RM3,799

  • Pilihan Warna: Phantom Black / Storm White

  • Model ulasan: 16GB RAM, 256GB storan / Warna Storm White


Rekaan Dan Fizikal


ROG Phone 5 sebenarnya mempunyai saiz fizikal lebih besar dari ROG Phone 3 tahun lepas. Ia sedikit tinggi, lebar dan juga skrinnya lebih luas pada masa yang sama masih mengekalkan saiz bezel untuk memuatkan pembesar suara stereo mereka.



Dari jauh masih lagi boleh meneka ROG Phone 5 merupakan sebuah telefon gaming dengan logo ROG dengan pencahayaan RGB, dan label "REPUBLIC OF GsAMERS EST 2006".



 

Namun kali ini tiada pengudaraan membuatkan panel belakang lebih rata dan kemas dengan sedikit unsur gaming. Lagi menarik tahun ini juga ada pilihan warna putih yang dirasakan lebih cantik berbanding warna klasik hitam.

Rekaan modul kamera masih lagi bersegi dengan perletakan 3 modul kamera pada bahagian belakang. Jika mengikut spesifikasi, ROG Phone 5 sedikit lebih tebal dari ROG Phone 3, namun modul kamera masih juga tersembul keluar.



Bingkai sisinya berwarna hitam manakala butang kuasa dan penutup SIM berwarrna biru neon. Nampak lebih cool dengan gabungan warna putih, hitam, dan biru itu.



ASUS turut memperkenalkan semula bicu audio 3.5mm yang tiada pada ROG Phone 3. Jika tidak silap, ini merupakan kali pertama syarikat meletakkan bicu ini setelah membuangnya. Bicu ini juga bukan biasa-biasa kerana ia merupakan jenis DAC premium dari ESS Sabre 24-bit.



Terdapat 2 lubang USB-C yang boleh digunakan iaitu bahagian bawah dan sisi kiri. USB-C pada bahagian kiri ini sangat berguna terutamanya ketika bermain permainan secara melintang sambil mengecas.

Bersebelahan USB-C ini adalah penyambung POGO yang digunakan sebagai sambungan aksesori permainan.

Kapsyen: USB-C di samping penyambung POGO untuk aksesori


Ciri AirTrigger melalui butang kapasitif ultrasonik masih disertakan pada bahu kiri dan kanan telefon. Dipadankan dengan getaran yang tajam dan kuat, boleh dikatakan ia hampir memimikkan kepada butang fizikal sebenar.

Kapsyen: Butang AirTrigger dengan label ROG


Secara keseluruhan, dengan berat 238g dan tebal 10.3mm, beban pegangan boleh dirasakan jika menggunakan telefon sebelah tangan pada jangka masa lama.



Ketika ini risiko telefon jatuh ke lantai sangat tinggi namun anda bernasib baik pihak ASUS menyertakan kerangka pelindung Aero. Ia bukanlah sepertimana kebanyakan kerangka pelindung lain kerana tidak menutupi sepenuhnya telefon dan tidak bersifat menyerap hentakan secara efektif.

Kapsyen: Rekaan kerangka Aero


Rekaan ini adalah diperlukan untuk pengawalan haba yang efisien ketika bermain permainan dan juga lebih mesra dengan aksesori gaming mereka.

Saya tiada masalah dengan pelindung ini cumanya bahagian bawah sangat tajam dan mencucuk jari apabila digunakan. Ditambah dengan berat telefon, memakai pelindung ini bukanlah satu pengalaman memuaskan apabila menggunakannya.

Kapsyen: Bahagian bawah kerangka Aero yang tajam

Skrin


Untuk ROG Phone 5, skrin 6.78 ini masih lagi menggunakan FHD AMOLED 144hz namun ASUS mengatakan panel ini lebih baik dengan kecerahan, kejituan warna, dan input lebih pantas.



Pada era kebanyakan telefon pintar sudah mula menggunakan resolusi Quad HD, ROG Phone 5 masih selesa dengan Full HD yang menyeimbangkan antara jangka hayat dan juga skrin pantas untuk bermain permainan.

Menggunakan skrin ini terasa sangat responsif ketika disentuh memandangkan ia mempunyai input pantas 24.3ms dan 300Hz.

Panel ini mempunyai kontras, hasil warna, dan sudut pandang yang sangat baik. Ia mempunyai spesifikasi Delta E<1 jadi dari segi ketepatan warna, ia tidak mendatangkan masalah.



Dengan perlindungan Gorilla Glass Victus juga, tahan lasaknya adalah setaraf seperti Galaxy S21 Ultra ataupun Mi 11.

Audio


Antara kekuatan mana-mana telefon gaming adalah sistem audio. ROG Phone 3 sebelum ini sudah sedia mempunyai pembesar suara stereo yang lantang dan sangat sedap. Pada ROG Phone 5, ia membawanya ke tahap lebih baik.



Tahun ini, julat dinamik dirasakan lebih luas dan muzik bass dirasakan lebih kedap serta kemas. Saya bukanlah seorang audiofil, tetapi ia tidak memerlukan seseorang untuk menjadi audiofil untuk mengenalpasti tahap kualiti ROG Phone 5 ini.

Disebakan julat yang lebih luas, kadang kala menonton video atau filem seperti mendengar audio datang dari sekeliling, bukannya dari telefon itu sendiri. Pembesar suara stereo ini adalah lebih baik dari yang terdapat pada Mi 11 terutamanya untuk liputan bunyinya yang lebih jelas didengar.

Prestasi, Permainan Dan Pengawalan Haba


Snapdragon 888 boleh dikatakan sebagai cip agak panas kerana pengeluaran haba dan kuasa yang tinggi. Sebelum ini Xiaomi Mi 11 dengan fizikalnya yang nipis itu boleh dikatakan kurang efektif dalam menjinakkan cip Snapdragon 888 itu.

Adakah ROG Phone 5 lebih mampu untuk mengendalikan cip yang sama?

Terlebih dahulu kami menguji prestasi cip ini pada aplikasi ukur aras. Ujian mendapati skor Geekbench adalah XXX yang lebih kurang sahaja dengan Xiaomi Mi 11 sebelum ini.

Kapsyen: Geekbench 5


Markah AnTuTu adalah antara yang tertinggi antara model Android di pasaran dengan skor XXXX. Kami menguji kedua-dua situasi menggunakan AeroActive Cooler 5 dan tidak menggunakannya.

Markah apabila tidak menggunakan AeroActive Cooler 5 adalah sedikit rendah namun ia masih antara markah tertinggi dalam pasaran telefon Android.

Perlu diingatkan model di tangan kami adalah varian 16GB RAM. AnTuTu seperti diketahui umum turut terkesan dengan jumlah RAM yang besar. Jadi varian dengan 18GB RAM sudah tentu akan mempunyai skor lagi tinggi.



Aplikasi 3DMark Wild Life mendapati ROG Phone 5 mempunyai skornya lebih kurang sahaja dengan Xiaomi Mi 11 sebelum ini.

Kapsyen: 3DMark Wild Life (ROG Phone 5)


Untuk prestasi ujian tekanan, aplikasi 3DMark Wild Life Stress Test mendapati skor ROG Phone 5 bukan sahaja yang terbaik, tetapi ia lebih baik dalam mengawal haba.



Sebagai perbandingan, dalam ujian ini, Mi 11 mencatatkan suhu setinggi 51C manakala ROG Phone 5 pula lebih sejuk pada 47C.



Menggunakan AeroActive Cooler pula, markah lebih tinggi boleh dicapai namun prestasi fps lebih banyak berbolak-balik. Suhu pula sedikit panas kerana ia telah mencapai fps lebih tinggi walaupun dipasang AeroActive Cooler.



Dari analisis awal terutamanya ujian Wild Life Stress Test, ROG Phone 5 dilihat lebih efektif dalam menyebarkan haba ke keseluruhan panel belakang.

Ini juga mungkin disebabkan bagaimana ASUS menyusun komponen CPU pada bahagian tengah-tengah telefon yang  dipisahkan dengan 2 bateri berbanding diletakkan pada bahagian kamera pada kebanyakan model lain.

Ia memudahkan haba untuk berselerak ke kiri dan kanan telefon serta memudahkan telefon bernafas tidak lemas akibat haba yang terkumpul.



Fizikal lebih tebal juga turut membantu pengudaraan haba dengan sistem penyejukan yang lebih efisien pada komponen dalaman ROG Phone 5.

Hasil dari konfigurasi CPU di kawasan tengah telefon, ia turut membantu mengelakkan pengguna merasa panas memegang telefon ketika bermain permainan.

Boleh dikatakan agak genius juga sistem penyejukan sebegini semata-mata untuk pengawalan haba yang berkuasa.

Beberapa permainan kami uji untuk melihat prestasi bermain menggunakan ROG Phone 5. Dari pemerhatian kami, kebanyakan permainan berat tidak mempunyai masalah untuk dimainkan dalam sesi main 20 minit pada suhu yang selesa kecuali Genshin Impact.

Oleh itu, hanya Genshin Impact sahaja yang saya merasakan perlu menggunakan Aeroactive Cooler untuk mengurangkan kepanasan telefon.



PUBG Mobile

PUBG Mobile menggunakan tetapan tertinggi HDR Extreme mendapati permainan sangat stabil pada 60fps. Suhu tertinggi dicatatkan adalah 39C.

Kapsyen: PUBG Mobile


Untuk tetapan Ultra HD pula, suhu lebih sejuk sekitar 35-36C dengan fps lebih rendah pada 40fps.

Tiada mod 90fps untuk PUBG Mobile pada ROG Phone 5 jadi masih tidak diketahui prestasinya.

Call of Duty Mobile

Tetapan tertinggi Very High Max sangat stabil pada 60fps. Suhu pula mencatatkan purata 38C.

Kapsyen: Call of Duty Mobile


League of Legends: Wild Rift

Tetapai tertinggi pada Ultra High Definition dengan 60fps adalah sangat stabil dengan suhu purata 36C.

Kapsyen: League of Legends: Wild Rift


Mobile Legends: Bang Bang

Untuk Mobile Legends pula, hanya tetapan High boleh dimainkan. Ultra masih belum tersedia lagi. Dengan mod HFR 60fps diaktifkan, suhu purata bermain adalah pada 38C.

Kapsyen: Mobile Legends: Bang Bang


PES 2021

PES 2021 menyaksikan suhu sedikit tinggi purata 40C pada tetapan tertinggi High dan 60fps.

Kapsyen: PES 2021


Asphalt 9

Bermain Asphalt 9 sangat menyeronokkan disebabkan ia permainan gerak pantas. Prestasi 60fps adalah sangat stabil dengan purata 38C.

Kapsyen: Asphalt 9


My Hero Academia

Permainan yang baru saya temui namun tidak mengecewakan kerana ia agak membebankan ROG Phone 5. Tetapan tertinggi pada 60fps menyaksikan suhu purata 40C dan maksimumnya boleh mencecah 43C.

Kapsyen: My Hero Academia


Fornite

Fortnite agak mengecewakan untuk diuji kerana tetapan tidak setinggi mana. Hanya maksimum 30fps sahaja. Namun menariknya, ROG Phone 5 bermain pada aras 'panas' 39C walaupun tetapan masih rendah belum lagi 60fps.

Kapsyen: Fornite


Genshin impact

Permainan paling menyusahkan semua iaitu Genshin Impact. Untuk percubaan pertama, saya hanya bermain seperti biasa pada tetapan tertinggi 60fps tanpa AeroActive Cooler untuk melihat pengendalian haba.

Suhu purata adalah pada 50C dengan maksimum mencecah 53 dalam tempoh 20 minit.

Kapsyen: Genshin Impact


Melihatkan kepanasan ROG Phone 5 tersebut, ujian kedua diuji dengan sesi bermain 20 minit juga pada tetapan sama namun kali ini dengan AeroActive Cooler pula.

Sedikit memuaskan dapat melihat suhu lebih sejuk pada purata 48C dengan maksimum 50C. Tetapi itu rasanya belum cukup sejuk lagi.

Senjata terakhir untuk menjinakkan Snapdragon 888 pada ROG Phone 5 ini adalah dengan menggunakan mod Bypass Charging. Ia akan menyalurkan kuasa dari pengecas terus ke telefon tanpa mengecas bateri.

Akhirnya, suhu lebih rendah dengan purata 46C dan maksimum yang dicapai adalah 48C.

Rumusan Prestasi


Untuk mengatakan ROG Phone 5 tidak panas apabila mengendalikan Snapdragon 888 adalah agak mustahil juga memandangkan cip ini agak berkuasa.

Namun, ROG Phone5 menawarkan sistem penyebaran haba yang lebih efisien dengan rekaan CPU di tengah-tengah, sistem penyejukan lebih efektif, dan juga bantuan aksesori AeroActive Cooler 5.

Menggunakan ROG Phone 5, prestasi Snapdragon 888 lebih tinggi dapat dirasai yang diterjemahkan kepada fps lebih stabil dan grafik lebih tinggi berbanding Mi 11 sebelum ini.

Aksesori Gaming Dan Aspek Perisian


ROG Phone 5 turut menyertakan aksesori gaming bersamanya AeroActive Cooler 5 dan Kunai 3 Gamepad. Aksesori TwinView Dock 3 dan Mobile Desktop sudah dilupuskan untuk model ini kerana menurut pihak ASUS kos pembuatannya agak tinggi.



AeroActive Cooler 5

Kipas penyejuk yang baharu ini mempunyai rekaan lebih ringkas dan mempunyai butang kawalan AirTrigger tambahan. Ia lebih ringan dari AeroActive Cooler 3 sebelum ini dan lebih kompak.

Kapsyen: AeroActive Cooler




Namun bukan kesemuanya positif. Disebabkan rekaan baharu ini, kipas ini perlu diletakkan secara paksa berbanding model sebelum ini yang mempunyai elemen penarik spring.

Ini adalah apa yang terjadi pada kami kerana pihak ASUS terpaksa menghantar unit kipas penyejuk kedua disebabkan pin POGOnya patah kerana rekaan 'paksa' ini.

Kapsyen: Rekaan pin POGO yang mudah terdedah dengan kerosakan


Walaupun tidak sehebat dakwaan ASUS mampu menyejukkan telefon sehingga 15C, menggunakan kipas penyejuk ini tetap memberi impak kepada haba telefon yang mana memberikan perbezaan 2-5C sahaja.

Penyejuk kipas ini sedihnya tidak didatangkan dalam kotak pembelian melainkan anda membeli ROG Phone 5 versi Pro atau Ultimate yang lebih mahal. Untuk harganya, anda boleh membeli secara berasingan pada harga RM149.

Kunai 3 Gamepad

Alat kawalan permainan Kunai 3 yang disertakan boleh mengubah pengalaman bermain kepada tahap yang lebih tinggi.

Kapsyen: Kunai 3 Gamepad


Boleh disambungkan secara Bluetooth atau USB-C, setiap butang fizikal boleh dipetakan kepada profil permainan masing-masing melalui aplikasi Game Genie.



Aksesori Kunai 3 Gamepad ini juga boleh dipasangkan sekali bersama-sama AeroActive Cooler 5 untuk kepuasan bermain pada kualiti grafik tertinggi tanpa masalah kepanasan melampau.



Kunai 3 Gamepad ini juga tidak didatangkan sekali dalam kotak pembelian. Ia berharga RM499 jika dibeli berasingan namun, jika anda membuat pra-tempahan awal, ia bakal disertakan sekali dalam pembelian anda.

ROG UI

ROG UI merupakan antaramuka ROG Phone 5 yang berasaskan Android 11.



Antara salah satu kritikan terhadap pelancar dan antaramuka ROG UI adalah ia terlampau menonjol, rekaan ikon yang kartun, penggunaan warna yang meriah menyerlahkan sisi gaming telefon ini.



Jika anda salah seorang pembenci antaramuka ROG UI ini, anda boleh sahaja menukarnya kepada versi vanilla Android yang lebih kemas dan ringkas.



Versi Android asli yang dijamukan kepada pengguna sangatlah ringkas kerana tidak mempunyai elemen yang ditokok tambah. Untuk pengguna telefon seperti Google Pixel atau Android One, mungkin sangat menghargai pelancar versi ini.

Melalui Armoury Crate, ASUS menawarkan beberapa profil sistem antara X Mode, Dynamic, Ultra Durable, dan Advanced.



X Mode merupakan profil khas gaming dengan meningkatkan kelajuan sistem dari segi CPU, GPU, tahap responsif skrin, namun pada masa sama menggunakan kuasa bateri yang tinggi. Apabila menggunakan kipas penyejuk AeroActive Cooler 5, ia akan bertukar kepada X Mode+, menawarkan prestasi sistem lebih tinggi.

Profil Dynamic pula menyeimbangkan kesemua aspek dari bateri sehingga prestasi manakala Ultra Durable memfokuskan kepada jangka hayat lebih lama.

Profil Advanced membolehkan anda mengubah sesuka hati tetapan agara serasi dengan kehendak anda. Tetapan yang boleh diubah adalah kelajuan CPU, GPU, RAM, kepantasan dan responsif skrin, dan juga rangkaian.

Anda juga boleh mengubahsuai pencahayaan logo RGB ROG pada bahagian panel belakang. Terdapat banyak perkara yang anda boleh ubahsuai seperti menjadikan logo sebagai pencayahaan notifikasi, mengikut rentak muzik, dan bermacam lagi.

Selain itu, kecerahan, rentak, cora dan warna RGB juga boleh diubah secara khusus dalam tetapan yang sama.



Apabila anda membuka permainan, aplikasi Game Genie akan terbuka sekali secara automatik sebagai perisian membantu ketika bermain.

Yang paling menarik dalam Game Genie adalah ia mempunyai tetapan input untuk alat kawalan Kunai 3. Cara menggunakannya juga sangat mudah jadi anda tidak perlu lama-lama menggodek-godek tetapan untuk menggunakan alat kawalan.

Kapsyen: Tetapan untuk Key Mapping


Anda juga boleh mengubah tetapan AirTrigger kiri dan kanan, mengaktifkan butang pada AeroActive Cooler 5 serta motion control.



ROG Phone 5 juga mempunyai mod khas untuk Esport. Ia boleh diaktifkan melalui butang kuasa. Dalam mod ini, ia akan:

  • menyekat panggilan telefon dan notifikasi

  • mengelak sentuhan tidak sengaja seperti bar navigasi dan Game Genie

  • nyahaktif AirTrigger dan beberapa fungsi yang dikira 'menipu' dalam pertandingan esukan.

  • Bypass Charging - Menguasakan telefon terus dari pengecas tanpa mengecas bateri untuk mengurangkan haba.


Kapsyen: Esports Mode


Jujurnya, terlalu banyak pengubahsuaian terutamanya dari aspek kepermainan pada ROG Phone 5. Bagi saya ia merupakan pengalaman bermain yang sangat memuaskan bukan sahaja dari segi perisian tetapi kualiti main.

Hanya tinggal satu perkara utama sahaja untuk sebuah pengalaman bermain sempurna iaitu sokongan permainan berkualiti tinggi lebih banyak pada gedung aplikasi Google Play Store Android.

Kamera


Ketika membentangkan mengenai aspek kualiti kamera semasa pelancaran ROG Phone 5, tiada banyak input tentangnya disebabkan ia bukan fokus sebuah telefon gaming.

Namun begitu, ASUS memberi jaminan anda masih boleh mendapatkan kualiti gambar yang baik dengan menyatakan ia menggunakan sensor sama dari Zenfone 7 Pro.

Untuk makluman, ASUS Zenfone 7 Pro telah memenangi ujian perbandingan kamera dari MKBHD, jadi boleh disimpulkan kameranya mampu untuk menawan hati pengguna.

  • Utama: 64MP, f/1.8, 0.8µm

  • Sudut Lebar: 13MP, 125 darjah, f/2.4

  • Makro: 5MP, f/2.0, 1.12µm

  • Swafoto: 24MP, f/2.5


Melalui penggunaan dan ujian saya, saya turut bersetuju ini merupakan kamera yang baik. Pada waktu siang, hasil HDR, pengawalan cahaya adalah agak baik. Ia tidaklah setanding HDR ekstrem seperti S21 Ultra namun kualitinya langsung tidak mengecewakan.



Kelemahan paling ketara adalah agak kurang tajam dibandingkan dengan pesaing, dan warnanya kadangkala kurang natural.

Untuk Night Mode, ia juga memaparkan prestasi kurang cahaya yang baik dengan kawalan exposure memuaskan tanpa perlu terlalu mencerahkan cahaya.



Satu keluhan saya adalah gambar Night Mode menggunakan durasi mengambil yang agak lama iaitu 4 saat. Jika tangan si pengambil bergegar, gambar sememangnya akan mudah untuk menjadi kabur.

Lensa 5MP ini adalah dari jenis makro, tetapi ia tak nampak seperti kamera makro pun kerana jarak fokus yang jauh.



Anda boleh merakam sehingga 8K 30fps atau 4K 60fps Keseluruhan hasil adalah baik sahaja dengan perincian yang mencukupi. Apa yang saya perasan adalah mikrofon sangat sensitif dengan setiap bunyi dan gerakan. Bukan sesuatu yang tidak bagus cuma dirasakan perlu untuk dinyatakan sahaja.

https://youtu.be/jmdPfpotKo4

https://youtu.be/kRcm04D1HLw

Untuk penstabilan paling efektif, mod Hypersteady boleh diaktifkan, ia akan dirakam pada resolusi 1080p 30fps. Hasilnya sangat bagus dengan gegaran yang minimum.

https://youtu.be/R4jkij2qM-g

Bateri


Dengan saiz fizikal gergasi, ROG Phone 5 dimuatkan dengan kapasiti bateri 6,000mAh. Kapasiti sebesar ini sudah tentu dapat diterjemahkan kepada penggunaan yang sangat lama meliputi pelbagai aspek dari kepermainan sehinggalah penggunaan biasa.

Disebabkan terlalu banyak tetapan pada ROG Phone 5, jangka hayatnya boleh dipelbagaikan bergantung kepada penggunaan anda. Jika anda bermain permainan berat sepanjang hari, screen-on-timenya boleh dipendekkan kepada 5 jam namun untuk penggunaan kasual pengguna biasa, ia boleh menjadi 9 jam dan mencecah kepada 11 jam lamanya.



Naik taraf agak besar untuk aspek bateri ROG Phone 5 adalah ia kini menerima kuasa mengecas 65W HyperCharge berbanding 30W tahun lepas. Ia mengambil masa sekitar 1 jam untuk penuh namun haba dikeluarkan ketika mengecas sekitar 39-40C dirasakan tidak selesa.

Untuk itu, ASUS turut menyertakan beberapa pilihan mengecas melalui Steady Charging. Anda boleh mengecas secara Steady (45W), Moderately Steady (30W), serta Extremely Steady (18W).

Kapsyen: Pilihan mengecas pada kuasa lebih rendah


Masa mengecas adalah sedikit lama namun saya lebih memilih suka untuk memilih Steady Charging disebabkan telefon tidak terlalu panas.

Bypass Charging merupakan satu aspek yang saya katakan agak genius kerana telefon dikuasakan terus dari pengecas tanpa menggunakan bateri. Walaupun namanya "Charging", ia bukanlah mengecas bateri telefon.

Kapsyen: Bypass Charging


Dia digunakan ketika bermain permainan yang mana mampu mengurangkan kadar haba kerana bateri tidak panas jika dicas secara biasa.

Dipadankan dengan AeroActive Cooler 5, saya mendapati suhu berkurang sedikit apabila bermain permainan berat dan boleh dikatakan ini merupakan penyelesaian agak efektif.

Rumusan


Buat masa ini, ASUS ROG Phone 5 mungkin telefon gaming yang mampu memerah sebanyak mungkin kuasa Snapdragon 888 dengan sistem pengawalan haba yang sangat efektif.

Ia masih boleh menjadi panas seperti telefon lain namun ia mengambil jangka masa agak lama untuk mencapainya yang mana membuktikan tahap efektif sistem gabungan sistem penyejukannya.



Selain dari itu, terdapat banyak aspek kepermainan meliputi dari perisian sehinggalah butang kawalan tambahan yang boleh dipetakan.

Skrin 144Hznya juga dirasakan sangat responsif memberikan pengalaman main lebih memuaskan. Cuma, mungkin kelemahan utama menggunakan skrin ini adalah tidak banyak permainan berkualiti tinggi untuk dimainkan dalam Google Play Store.

Walaupun kamera bukan fokus utama dalam ROG Phone 5, kualitinya tidak mengecewakan dan sudah cukup untuk menyajikan kualiti yang baik untuk sebuah telefon gaming.

Aspek audio turut diberikan penekanan bukan sahaja pembesar suara stereo dengan kualiti audio sangat baik, bahkan kehadiran semula bicu 3.5mm dengan sokongan DAC bertaraf tinggi.

Bukan semua orang boleh menghargai penawaran sebuah telefon gaming disebabkan jumlah pengguna yang kecil dan niche, namun untuk anda yang mahukan pengalaman gaming telefon pintar terbaik, jelas tiada pilihan selayaknya melainkan ROG Phone 5.

Untuk harga bermula RM2,999, ROG Phone 5 merupakan iterasi telefon gaming terbaik yang ASUS pernah berikan. Ia mungkin bukan untuk semua orang disebabkan ciri-cirinya banyak memfokuskan kepada gaming, namun untuk pengguna yang dapat menghargai apa yang ROG Phone 5 tawarkan, ini adalah sebuah telefon yang cemerlang untuk peminat mereka.

Kelebihan

  • Skrin sangat responsif ketika bermain

  • Sistem pengawalan haba cemerlang

  • Audio menggagumkan baik pembesar suara mahupun bicu 3.5mm

  • Perisian permainan seperti Game Genie dan Armoury Crate membantu pengubahsuaian bermain mengikut citarasa pengguna

  • Jangka hayat bateri yang lama

  • Kualiti kamera bukan aspek lemah telefon

  • Sistem antaramuka yang penuh dengan pengubahsuaian

  • Kewujudan ciri Bypass Charging dan Steady Charging yang sangat efektif untuk memelihara bateri dan mengurangkan haba telefon

  • Prestasi mikrofon cemerlang dan sensitif, baik digunakan untuk gaming ataupun rakaman video


Kekurangan

  • Antaramuka ROG UI yang terlampau 'gaming'

  • Rekaan aksesori Active Cooler 5 yang mudah terdedah dengan kerosakan

  • Kerangka Aero yang dibekalkan kurang selesa untuk digunakan

  • Terasa panas apabila dicas pada 65W