(Ulasan) Amazfit GTR 2e - Jam Pintar Elegan, Lebih Mampu Milik

Amazfit GTR 2e merupakan model mampu milik dalam siri fesyen GTR 2 oleh Amazfit. Sebagai varian dalam siri yang sama, ia masih mengekalkan beberapa ciri dan karekteristik yang sama tetapi membuang beberapa fungsi untuk menjadikannya lebih murah.



Jam pintar GTR 2e ini telah pun memasuki pasaran Malaysia dengan harga jualan rasmi RM549 pertengahan Januari 2021 lalu. Harga ini adalah sedikit lebih rendah berbanding GTR 2 yang berharga RM699.

Dengan jam ini yang sudah berada di tangan kami, mari kita lihat apakah yang menarik dengan Amazfit GTR 2e jika dibandingkan dengan GTR 2 yang lebih mahal.

Spesifikasi



  • Bahan binaan: Kerangka aluminium aloi 46mm + Tali silikon 22mm

  • Fizikal: (46.5 x 46.5 x 10.8)mm, 32g (tanpa tali)

  • Paparan: 2.5D AMOLED  (454 x 454 pixel) 1.39 inci  (326 ppi)

  • Bateri: 471mAh (pengecasan magnetik)

  • Ketahanan: 5 ATM (50m)

  • Sensor: Sensor pemecut, Sensor giroskop, Sensor geomagnetik, Sensor cahaya persekitaran, Sensor tekanan udara, Sensor suhu

  • Sambungan: Bluetooth 5.0 / BLE

  • Input: Skrin sentuh, Mikrofon


Perbezaan dengan Amazfit GTR 2


Amazfit GTR 2e masih lagi menggunakan rekaan dan dimensi yang sama dengan GTR 2 iaitu kerangka berbentuk bulat. GTR 2e didatangkan dengan 3 pilihan warna Obsidian Black, Matcha Green, dan Slate Grey sementara GTR 2 hanya ada Obsidian Black.



Pada GTR 2, ia menggunakan skrin 3D manakala skrin GTR 2e hanya 2.5D sahaja. Skrin GTR 2 juga lebih tahan lasak dengan lapisan optical Diamond-like Carbon (ODLC).



GTR 2e tiada pembesar suara seperti GTR 2 namun masih lagi mempunyai sokongan mikrofon. GTR 2e juga tiada storan dalaman yang boleh digunakan untuk menyimpan lagu dan audio, GTR ada storan 4GB.

Pada GTR 2e , tiada sokongan Wi-Fi tidak seperti GTR 2. Jadi, ia hanya bergantung pada Bluetooth sahaja untuk sambungan.

GTR 2e juga mempunyai ketahanan bateri lebih lama sehingga 24 hari manakala GTR 2 hanya bertahan selama 14 hari sahaja.

Pengalaman Menggunakan GTR 2e


Paparan pada GTR 2e ini boleh dikatakan ciri utama yang menarik kerana ia bersaiz besar AMOLED 1.39 inci serta beresolusi tinggi pada 454 x 454 pixel.



Rekaannya juga lebih menyamai sebuah jam tangan klasik berbanding jam pintar jadi tidak terlalu menyerlah jika dipakai dan mudah dipadankan dengan gaya pemakaian.

Talinya yang bersaiz 22mm ini juga boleh ditanggal dan ditukar jika mahu bergantung kepada citarasa pengguna itu sendiri.



Kerangka aluminium 46mm dan tali silikonnya memberikan gambaran sebuah jam elegan dan nampak kemas jika dipakai.

Di bawah cahaya matahari yang terik, paparan GTR 2e tidak mendatangkan masalah dan masih lagi boleh dilihat dengan jelas.

Terdapat banyak pilihan muka jam yang boleh dipilih terutamanya jika anda memilihnya dari aplikasinya tersendiri iaitu Zepp.

Selain itu, GTR 2e juga menyokong paparan sentiasa hidup mengambil manfaat paparan cantik AMOLEDnya.



 

Prestasi pada GTR 2e masih lagi baik dan fps animasi yang tersangkut-sangkut masih lagi terkawal. Tiada animasi tergantung atau sistem freeze dialami, jadi pengalaman menggunakan jam ini berada pada tahap yang memuaskan.

Sukan dan kecergasan

Menu utama GTR 2e menggunakan menu antara muka putaran memuatkan akses utama seperti Activity Goal, Workout, SpO2, Heart Rate, Weather, Stress, Music, Alarm, Widgets, Settings, dan lain-lain.



Untuk ciri kecergasan, GTR 2e menyertakan sensor optikal dari BioTracker 2 untuk memantau degupan jantung dan juga oksigen dalam darah (SpO2).

Berdasarkan ujian kedua-dua ciri ini boleh dikatakan agak tepat nilai ukurannya jika mahu digunakan secara panduan kecergasan.



GTR 2e juga turut mempunyai sokongan GPS dan GLONASS jadi ia masih boleh menjejak aktiviti luar seperti berlari dan berbasikal.



Melalui aplikasi Zepp, anda boleh melihat pelbagai data penjejakan termasuk juga aktiviti seharian seperti kiraan langkah, jarak yang dilalui, dan tempoh anda berjalan atau berlari.



Selain itu, anda juga boleh menjejak tidur dan Zepp mempunyai Sleep Scores yang membekalkan banyak input tentang tidur dan juga memberikan cara-cara untuk meningkatkan tahap tidur anda lebih baik.

Mod sukan pada GTR 2e terlampau banyak meliputi sukan larian/berjalan, berbasikal, berenang, sukan luar, sukan dalaman, menari, sukan berlawan, bola, sukan air, sukan musim sejuk, sukan ringan, dan lain-lain.



Memakai jam ini ketika bersukan seperti berlari sangat selesa kerana ia ringan serta tidak terlalu tebal.



Ciri lain yang turut disertakan adalah sensor suhu yang digunakan untuk mengukur suhu persekitaran. Ia walau bagaimanapun tidak dapat mengukur suhu pengguna secara tepat yang mana lebih berguna terutamanya jika mahu memeriksa suhu ketika demam contohnya.

Notifikasi Dan Fungsi Lain


Sama seperti jam pintar lain, GTR 2e menyokong notifikasi aplikasi dan pengguna boleh memilih aplikasi mana yang mahu mengeluarkan notifikasi melalui Zepp.

Ia walau bagaimanapun, tidak menyokong kesemua emoji jadi sesetengahnya hanya dipamerkan secara kotak kosong sahaja.

Notifikasi yang terpamer tiada interaksi yang boleh dilakukan seperti contoh jika mahu membalas secara terus dari jam. Karakter notifikasi juga mempunyai had di mana jika terlalu panjang, pengguna tidak boleh membuka notifikasi untuk melihat kandungannya secara penuh.

Pengguna juga boleh mengawal muzik dari telefon sama ada untuk berhenti, main, meninggikan atau mengurangkan aras bunyi. GTR 2e tidak mempunyai storan dalaman khusus terbina seperti GTR 2 jadi pengguna tidak boleh menyimpan lagu secara luar talian.



Selain menavigasi secara skrin sesentuh, pengguna juga boleh mengawal jam menggunakan kawalan suara melalui mikrofon yang terbina.



Ia bukannya AI tetapi hanya sistem yang melakukan sesuatu kerja berdasarkan kata kunci yang sudah ditetapkan.



Antara perkara yang boleh dilakukan melalui kawalan suara ini adalah:

  • Kawalan kecerahan skrin

  • Kawalan mod Do Not Disturb

  • Aktifkan Battery Saver

  • Kawalan aras bunyi

  • Aktifkan mod lampu suluh

  • Buka aplikasi seperti Heart Rate atau SpO2

  • Kawalan mod Workout

  • Kawalan muzik (buka aplikasi muzik, henti, main lagu seterusnya)


Saya mendapati kawalan suaranya berfungsi dengan baik dan jam dapat menangkap butiran percakapan asalkan anda tidak pelat berbahasa Inggeris.



Jika pada GTR 2, ia mempunyai pembesar suara, namun GTR 2e tiada fungsi ini menjadikannya tidak boleh menerima panggilan melalui jam.

Jangka Hayat


Amazfit GTR 2e didatangkan dengan kapasiti bateri 471mAh yang didakwa mempunyai ketahanan sehingga 24 hari untuk penggunaan biasa.

Saya tidak pasti penggunaan apakah yang dimaksudkan dengan biasa yang mampu mencapai 24 hari tersebut namun untuk kes saya, ia mampu bertahan sekitar seminggu dengan ciri always-on sentiasa aktif.

GTR 2e boleh dicas menggunakan pengecas magnetik yang mana ia mengambil sekitar 2 jam 30 minit.

Rumusan


Dengan rekaan elegan klasik seperti GTR 2 yang lebih mahal dan juga menyamai sebuah jam klasik, GTR 2e memberi penekanan terhadap rupanya pada harga lebih mampu milik.



Ketiadaan fungsi tidak dirasakan terlalu perlu seperti pembesar suara, Wi-Fi, panel 3D, atau storan dalaman untuk menyimpan lagu. Tambahan ciri yang dinyatakan ini sememangnya lebih mesra untuk model jam pintar lebih mahal dan premium.

Aspek ketahanan bateri yang lebih lama dari GTR 2 juga memberikannya kelebihan utama kerana harga yang lebih mampu milik.

Secara keseluruhan, jika anda mahukan jam pintar yang kaya dengan ciri kecergasan dan pada masa yang sama hadir dengan rekaan elegan, pada harga RM549, Amazfit GTR 2e tidak dinafikan model yang harus untuk dimiliki.