(Ulasan) Acer Swift 3x - Main Game Dengan Kad Grafik Khusus Pertama Dari Intel, Iris Xe Max

Beberapa minggu lalu, kami di Wiser telah menguji ASUS Zenbook 14 UX425 terbaharu dengan cip Intel Gen-11. Komputer riba tersebut dikuasakan oleh grafik terbina Iris Xe dan menawarkan prestasi permainan yang memberansangkan.

Namun melalui Acer Swift 3x pula, mesin ini adalah sedikit berbeza walaupun kedua-duanya dikuasakan cip Intel Gen-11 yang terkini.



Ini adalah kerana Acer Swift 3x mempunyai grafik dijana oleh GPU pertama dari Intel iaitu Iris Xe Max. Sudah tentu ramai yang menjangkakan prestasi grafik lebih baik berbanding Iris Xe biasa dan mahu mengetahui sejauh manakah hebatnya kad grafik pertama dari Intel ini.



Teruskan membaca artikel ulasan Acer Swift 3x ini dan di penghujung artikel saya akan jelaskan adakah berbaloi prestasi dengan harga yang dibayar untuk memiliki komputer riba ini.

Rekaan Ringkas Dengan Sedikit Gaya


Mengulas mengenai rekaan komputer riba ini, ia sama sahaja seperti kebanyakan ultrabook yang lain, nampak ringkas sahaja.



Namun sedikit berbeza kerana pada bahagian engsel luar terdapat jalur warna hijau aqua berbeza dengan warna keseluruhan yang memberikannya sedikit gaya dan keunikan. Ia dilabelkan dengan teks SWIFT yang menampakkan sisi elegan komputer riba ini.



Dari segi fizikal, ia mempunyai nipis 17.95mm dan juga berat pada 1.37kg. Komputer riba ini juga mempunyai bahan binaan keseluruhan dari aluminium yang kukuh dan premium.



Untuk I/O yang dibekalkan, di bahagian kanan terdapat 1 USB-A 3.2 Gen 1, bicu 3.5mm, petunjuk LED mengecas, dan juga kunci Kensington.



Bahagian kiri pula 1 lagi USB-A 3.2 Gen 1, lubang pengecas bulat, HDMI, dan juga 1 USB-C 3.2  Gen 2.



Agak mengecewakan kerana pengecas yang didatangkan bukanlah USB-C, namun anda masih lagi boleh mengecas melalui lubang USB-C yang disediakan menggunakan pengecas USB-PD.


Skrin Full HD 14 Inci Dengan 72% NTSC


Acer Swift 3x hanya hadir dalam satu pilihan skrin iaitu 14 inci sahaja. Dengannya resolusi Full HD disertakan yang menyokong 72% NTSC. Skrinnya adalah bernisbah 16:9 normal dan bukannya 3:2 pada beberapa model komputer riba Acer yang lain.



Untuk kerja-kerja menyunting asas, skrin ini sekadar mencukupi sahaja di mana liputan warna hanya pada aras baik sahaja. Selain dari itu, skrin ini cukup terang untuk penggunaan kasual dan juga mempunyai sudut melihat yang baik.


Papan Kekunci Maklum Balas Sedikit Pendek


Kebanyakan komputer riba kategori ultrabook mempunyai ciri papan kekunci dengan maklum balas yang pendek kerana mahukan rekaan yang nipis. Acer Swift 3x ini juga sama.



Walaupun agak pendek, butang-butangnya memberi pengalaman tactile yang membuatkan sesi menaip agak memuaskan.

Untuk backlight, papan kekunci ini menyertakan cahaya berwarna putih dan tiada aras kecerahan. Jadi ada 2 sahaja pilihan menggunakan bakclight - hidupkannya atau tidak. Tidak boleh melaras kecerahan secara manual.



Pad sesentuh pula mempunyai saiz normal, tidak terlampau besar atau terlalu kecil. Klik ketika menggunakan pad sesentuh ini adalah pejal dan tidak rapuh manakala kemasan yang digunakan adalah matte yang tidak mudah comot atau kotor.



Terdapat juga pengimbas cap jari diletakkan di bawah butang arah. Ia berfungsi dengan sangat baik dan memudahkan proses log masuk Windows tanpa menaip menggunakan kata laluan.


Prestasi Grafik Memuaskan Untuk Sebuah Ultrabook, Tetapi...


Acer Swift 3x merupakan antara komputer riba pertama yang menggunakan kad grafik Intel khusus pertama iaitu Intel Iris Xe Max.



Walaupun sebuah kad grafik khusus, Intel Iris Xe Max ini bukanlah disasarkan sebagai kad grafik untuk bermain permainan, sebaliknya adalah platform untuk pemprosesan kecerdasan buatan.



Pun begitu, dari segi kemampuan bermain permainan, ia berada pada posisi kelas permulaan setanding dengan barisan Nvidia MX dan mampu memainkan permainan pada kualiti yang kompetitif.

Dari segi spesifikasi, Acer Swift 3x hadir dengan pilihan Intel i7-1165G7 atau Intel i5-1135G7. Model kami menggunakan Intel i7 dengan RAM sebanyak 16GB namun untuk model i5, ia mempunyai RAM hanya 8GB sahaja.

Untuk kuasa pemprosesan grafik, kedua-dua model i7 dan i5 menawarkan GPU Intel Iris Xe Max yang sama di samping grafik terbina Intel UHD Graphics.

Intel Iris Xe Max ini mempunyai 4GB VRAM, kelajuan sehingga 1650MHz dan 96 execution unit (EU).

Terlebih dahulu, saya telah menguji Intel Iris Xe Max pada Acer Swift 3x ini menggunakan ukur aras sintetik dan ini adalah dapatan saya:

  • Time Spy - 1,858

  • Fire Strike - 5,379

  • Night Raid - 16,677

  • VRS - 140.58 fps

  • Sky Diver - 15,768




Untuk prestasi GPU pada Intel Iris Xe Max, ia adalah sedikit lebih berkuasa dari Nvidia GeForce MX450 jika dibandingkan dari skor ukur aras yang dilakukan. Boleh dikatakan memandangkan ini merupakan percubaan pertama Intel dalam arena kad grafik.

Prestasi CPU Intel i7-1165G7

  • Cinebench R23 Teras Tunggal - 1,492

  • Cinebench R23 Multi Teras - 5,829

  • Geekbench Teras Tunggal - 1,559

  • Geekbench Multi Teras - 5,835


Kapsyen: Cinebench R23


Kapsyen: Geekbench 5


Dari segi prestasi CPU pula, cip Intel Tiger Lake i7-1165G7 ini boleh dikatakan lebih pantas dari mana-mana cip AMD siri Ryzen 4000 untuk teras tunggal. Namun, dari segi multi-teras, ia masih belum boleh mampu menandingi cip AMD Ryzen 4000.

Sehubungan dengan itu, jika anda mengutamakan prestasi multi teras yang banyak digunakan dalam perisian seperti Adobe Photoshop, Adobe Premier Pro, Blender, dan lain-lain, adalah lebih bagus jika memilih komputer riba dengan cip AMD Ryzen 4000 itu.

Terdapat beberapa permainan yang saya uji untuk melihat prestasi kualiti grafik Intel Iris Xe Max pada Acer Swift 3x ini. Untuk membuat perbandingan adil dan lebih wajar, saya menguji kesemua permainan dengan tetapan tertinggi pada resolusi 1080p.

Menerusinya hanya permainan Valorant dan CS: Go yang mampu mencapai fps lebih dari 60 secara konsisten. Namun begitu ia tidak mengejutkan memandangkan permainan ini sangat ringan dan kurang menyusahkan GPU.

Kapsyen: Valorant - Purata 72.4fps


Kapsyen: CS: Go - Purata 60.2fps


Permainan lain seperti Dota 2 masih mudah untuk Acer Swift 3x memainkannya mencecah hampir 60fps manakala Apex Legends sedikit menurun sekitar 30 fps.

Kapsyen: Dota 2 - Purata 54.1fps


Kapsyen: Apex Legends - Purata 35.3fps


Untuk Fortnite, Monster Hunter World, dan The Witcher 3: Wild Hunt, masing-masing mempamerkan fps di bawah 20fps. Pun begitu, tiada drop frame yang diperlihatkan dan sesi bermain adalah lancar sahaja walaupun pada fps rendah.

Kapsyen: Fortnite - Purata 15.3fps


Kapsyen: Monster Hunter World - Purata 14.3fps


Kapsyen: The Witcher 3: Wild Hunt - Purata 17.6fps


Melalui prestasi permainan yang ditunjukkan, sahih terbukti Intel Iris Xe Max merupakan sebuah kad grafik yang berkuasa untuk sebuah kelas ultrabook. Prestasi ini adalah lebih kurang dengan penawaran dari Nvidia GeForce MX450.

Dari segi kelajuan SSD, Acer Swift 3x hanya berkelajuan biasa-biasa sahaja pada sekitar bacaan 2292MB/s dan tulis 1083MB/s. SSD yang diberikan hanyalah berkapasiti 512GB. Sudah tentu tidak banyak permainan yang boleh dimuatkan, namun perlu diingatkan ini bukan komputer riba gaming, jadi saiz ini mencukupi sahaja untuk kegunaan kasual biasa.



Melihat kepada apa yang dipamerkan oleh Intel, percubaan kad grafik khusus mereka agak memberansangkan untuk produk pertama mereka. Selain setanding dan bersaing dengan siri MX Nvidia, Intel Iris Xe Max mempunyai kelebihan disebabkan ia bekerja seiring dengan cip pemprosesan Intel Core sendiri.

Kelebihan Gabungan Intel Iris Xe Max Dan CPU Intel Core


Disebabkan kedua-dua pemprosesan utama dan grafik dari Intel sendiri, terdapat beberapa kelebihan dan keunikan teknologi pada Intel Iris Xe Max ini.

Antaranya adalah teknologi Deep Link. Melaluinya Deep Link boleh menggunakan kedua-dua kuasa pemprosesan dari CPU dan juga GPU Iris Xe Max pada sesebuah perisian untuk melajukan lagi beban proses seperti mengekod video dan juga penciptaan karya.

Buat masa ini Intel mengatakan hanya perisian seperti HandBrake, Open Broadcaster, dan Topaz Gigapixel AI yang menyokong Deep Link. Manakala perisian lain seperti Blender, Magix, CyberLink, dan Fluendo bakal disokong pada masa akan datang.

https://www.youtube.com/watch?v=JnjY0Fxv4Vk

Antara teknologi lain yang menarik melalui gabungan CPU dan GPU dari Intel adalah Dynamic Power Share. Dengannya Intel boleh mengalihkan kesemua tenaga dan kuasa kepada CPU apabila GPU Iris Xe Max dalam keadaan 'tidak bekerja'. Hasilnya ia akan menyumbang kepada prestasi CPU sehingga 20% lebih pantas.

RAM Tidak Boleh Dinaik Taraf


RAM Acer Swift 3x tidak boleh dinaik taraf seperti mana kebanyakan ultrabook. Anda hanya boleh memilih sama ada 8GB atau 16GB sebelum membeli kerana RAM nya dipaterikan terus ke papan induk.



Namun, storan masih boleh dinaik taraf. Jika anda merasakan saiz 512GB tidak mencukupi, terdapat satu lagi ruangan storan M.2 NVME PCIe yang kosong untuk ditambah.

Ketahanan Bateri Biasa-Biasa Sahaja


Acer hanya menyertakan bateri berkapasiti 58.7Wh pada Swift 3x. Kapasiti ini tidaklah terlalu kecil untuk komputer riba 14 inci, namun saya pernah melihat kapasiti lebih besar atas 60Wh pada model jenama lain dengan saiz sama.



Sehubungan dengan itu ASUS mendakwa bateri boleh bertahan sehingga 17.5 jam. Melalui penggunaan saya, ia sukar untuk mencapai ketahanan selama itu. Saya hanya mencapai penggunaan sekitar 7-8 jam yang boleh dikatakan agak normal sahaja untuk sesebuah komputer riba.

Walaupun pengecas yang disertakan bukanlah dari USB-C, port USB-C yang disediakan masih lagi menyokong pengecasan berasaskan USB-PD. Jadi anda masih boleh menggunakan kabel USB-C yang ada protokol tersebut.

Rumusan


Intel Iris Xe Max merupakan produk yang menarik di sebalik sebuah ultrabook berkuasa Acer Swift 3x. Walaupun komputer riba ini bukanlah sebuah produk gaming (dan tidak digalakkan membeli semata-mata mahu bermain permainan), namun ia masih mampu memberikan prestasi yang baik.

Ia juga membawa satu penanda aras baharu baik untuk kad grafik Intel dan juga prestasi gaming untuk sebuah ultrabook.



Saya sebelum ini sememangnya merupakan peminat siri Acer Swift 3 kerana siri ini memfokuskan kepada komputer riba nipis dan ringan. Dengan penambahan kad grafik Iris Xe Max, teknologi baharu seperti Deep Link dan Dynamic Power Sharing diwujudkan yang memberikan pengguna kategori pencipta karya khususnya boleh menikmati kelebihan dari perisian yang digunakan.

Model Acer Swift 3x yang Wiser uji ini adalah sebuah model berharga RM4,599. Dengan prestasi gaming yang ditunjukkan, adalah tidak berbaloi jika anda mahu membeli komputer riba ini semata-mata mahu bermain permainan.

Kapsyen: Harga rasmi Acer Swift 3x untuk pasaran Malaysia


Saya merasakan model Swift 3x dengan CPU Intel i5 dan 8GB RAM adalah lebih berbaloi jika anda mahu sekadar 'bermain' atau menikmati GPU pertama dari Intel ini.

Selain dari itu, jika anda mahu memiliki Acer Swift 3x hanya kerana ia ringan dan nipis, saya kurang setuju dengan faktor pemilihan tersebut kerana ada model lain seperti Acer Swift 3 biasa yang lebih murah untuk dibeli.



Namun, jika anda mencari komputer riba ringan, nipis, dan hadir dengan teknologi terkini Intel Gen-11 seperti Thunderbolt 4, Wi-Fi 6, antaramuka PCIe 4 dan lain-lain, Acer Swift 3x merupakan pilihan yang perlu anda senarai pendekkan.

Kelebihan

  • Ringan 1.37kg dan nipis 17.95mm, mudah dibawa ke mana-mana.

  • Cip dengan teras tunggal pantas untuk sebuah ultrabook.

  • Prestasi grafik Intel Iris Xe Max yang memberansangkan.

  • Tiada masalah suhu

  • Kelajuan SSD yang baik

  • Bahan binaan kerangka luar aluminium yang kukuh

  • Hadir dengan set teknologi menarik Intel Gen-11 seperti Thunderbolt 4, Wi-Fi 6, dan lain-lain.


Kekurangan

  • Ketahanan bateri kurang kompetitif untuk kelasnya, namun masih baik.

  • Rekaan biasa-biasa sahaja dan tiada faktor wow.

  • Tidak berbaloi jika membeli hanya semata-mata mahu bermain permainan.

  • RAM tidak boleh dinaik taraf.

  • Skrin hanya meliputi warna setakat 72% NTSC sahaja, kurang sesuai untuk pengguna beban kerja berteraskan ketepatan warna