Ujian Sembunyikan Kiraan Like Instagram Dikembangkan Lagi Kepada Pengguna Seluruh Dunia

Sebahagian daripada kita kini gemar berkongsi saat-saat indah atau apa sahaja yang menarik di platform Instagram.

Namun begitu, terdapat pengguna lebih mementingkan jumlah Like dan View yang diterima berbanding kualiti foto yang dikongsikan tersebut.



Ujian untuk menyembunyikan kiraan Like dan View itu sedia dijalankan sejak 7 bulan yang lalu dengan negara terawal melibatkan Australia, Brazil, Canada, Ireland, Italy, Japan, dan New Zealand. Ia kemudiannya dikembangkan ke Amerika Syarikat pada awal minggu ini.

Kini ia telah memasuki fasa baru dimana ujian tersebut diluaskan lagi kepada pengguna seluruh dunia. Oleh yang demikian, sekiranya anda mendapati perkongsian foto dan video rakan di Instagram tidak lagi memaparkan kiraan Like dan View, ini bermakna anda terlibat sama dalam fasa ujian tersebut.


Susun atur antaramuka aplikasi Instagram masih sama, cuma paparan Like dan View sahaja tidak lagi kelihatan.

Langkah ini diambil oleh pihak Instagram sebagai inisiatif untuk menjadikan pengguna lebih menghayati sesebuah perkongsian tanpa mementingkan jumlah Like yang diperoleh.

Walaubagaimanapun ia mungkin menimbulkan sedikit masalah kepada pengguna yang menjadikan Instagram sebagai platform perniagaan, ini kerana jumlah Like yang banyak memberi imej baik pada produk mereka.

Sumber: The Next Web