Ujian Rintis Teknologi 5G Di Perak Bakal Bermula Julai Depan

Awal minggu ini, Cyberjaya dan Putrajaya telah diumumkan bakal mengadakan projek rintis teknologi 5G yang akan bermula sekitar April.

Menggarap laporan dari Bernama, Perak turut akan memulakan ujian rintis 5G di negeri itu yang mana pelaksanaannya diadakan selewat-lewatnya Julai tahun ini. Lokasi pertama yang disebutkan adalah Bandar Meru Raya.

Perbincangan mengenainya sedang dilakukan bersama SKMM dan juga beberapa syarikat telco bagi pembinaan menara telekomunikasi, sepertimana yang dijelaskan oleh Hasnul Zukarnain Abdul Munaim, pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak .

Beliau turut menyatakan pembinaan menara telekomunikasi akan dibuat untuk mengelakkan gangguan. Hal ini kerana jarak sesuai untuk rangkaian 5G adalah 300-500 meter berbanding perkhidmatan 4G pada jarak 1km-4km.

Justeru itu, beliau menambah sekiranya pembinaan menara telekomunikasi itu mendapat bantahan, kesedaran kepada masyarakat harus diberikan bahawa pancaran radiasi perkhidmatan 5G adalah rendah dan selamat selain penting untuk negeri itu bergerak maju dalam menyediakan kemudahan teknologi 5G.

Sumber: Bernama