Ujian Menunjukkan Bagaimana "Dark Mode" Menjimatkan Hayat Bateri Pada Peranti OLED

Mod gelap merupakan ciri yang disokong secara terbina pada Android 10 dan juga iOS 13. Antara kelebihan menggunakan mod gelap adalah dapat mengurangkan kerengsaan mata ketika waktu malam dan juga yang utamanya untuk menjimatkan hayat bateri.

Satu ujian telah dijalankan oleh saluran YouTube Phonebuff untuk mengenalpasti tahap kecekapan hayat bateri yang digunakan dalam "Dark Mode".

Beliau membandingkan dua buah iPhone XS dengan iOS 13, di mana satu daripadanya menggunakan "Dark Mode", satu lagi menggunakan "Light Mode".

Ujian tersebut dijalankan oleh tangan robot yang telah diprogramkan untuk menjalankan tugas-tugas spesifik seperti menaip mesej, menatal Twitter, menggunakan YouTube, dan juga menggunakan Google Maps.

Setiap tugas tersebut dijalankan berulang-ulang kali selama 2 jam dan penurunan hayat bateri telah direkodkan.

Dark mode test results OLED iPhone

Keputusan ujian menunjukkan iPhone XS dengan "Dark Mode" masih lagi mempunyai 30% hayat bateri sedangkan iPhone XS dengan "Light Mode" sudah habis baterinya.

Dengan menggunakan mod gelap pada peranti OLED, sesetengah pixel akan dimatikan dimana ia akan meningkatkan kecekapan penggunaan bateri. Jika anda mahu memaksimumkan penggunaan hayat bateri peranti, adalah digalakkan untuk menggunakan fungsi mod gelap untuk setiap aplikasi yang anda gunakan.

Untuk melihat ujian penuh yang dijalankan, sila lihat video di bawah.

https://www.youtube.com/watch?v=qbxdHpD5jWw

Sumber: Phonebuff