[Ujian Gaming] Redmi Note 8 Pro - Ayuh Uji Kemampuan Gaming Cip MediaTek Helio G90T

Model daripada Redmi Note sentiasa mendapat sambutan memberansangkan daripada pengguna termasuklah Malaysia. Ini adalah disebabkan penawaran spesifikasi yang baik dan menarik dalam pada masa yang sama turut dijual pada harga berpatutan.

Siri Redmi Note akhirnya mendapat kemaskini baharu daripada Xiaomi iaitu Redmi Note 8 Pro. Antara yang menarik untuk Redmi Note 8 Pro adalah ia didatangkan dengan cip pemprosesan memfokuskan gaming iaitu Mediatek Helio G90T.



Xiaomi Malaysia juga telah berkolaborasi dengan Master Ramen di Facebook untuk bermain PUBG Mobile secara langsung pada sebuah Redmi Note 8 Pro. Master Ramen dah cuba peranti ini. Kini giliran kami pula untuk mencuba peranti ini bermain permainan.

Jika benar dakwaan mereka bahawa cip tersebut adalah cip yang mengutamakan prestasi gaming, mari kita lihat sejauh manakah tahap 'gaming' yang diperkatakan.

Kami mencuba 2 permainan mudah alih popular dalam kalangan rakyat Malaysia buat masa ini iaitu PUBG Mobile dan COD Mobile untuk mengetahui dengan lebih lanjut tahap prestasi gaming peranti ini.

PUBG Mobile


Bermula dengan PUBG Mobile, grafik tertinggi yang ditetapkan adalah pada HDR serta frame rate Ultra. Terlebih dahulu, suhu yang dicatatkan sebelum membuka permainan adalah sekitar 31-34°C.



Ketika menavigasi antaramuka menu, frame rate adalah sekitar 40fps. Bermain selama lebih kurang 15 minit, didapati purata 38 -39fps dengan maksimum 40fps. Adakalanya terdapat penurunan tiba-tiba sehingga 23fps namun ia tidak kekal lama dan langsung tidak mengganggu permainan.



Suhu pula mula meningkat mencapai purata 38-40°C di mana suhu tersebut bersifat normal untuk sebuah peranti yang sedang bekerja keras memainkan permainan. Dengan grafik yang ditetapkan kepada HDR, mata si pemain yang melihat terasa seronok kerana perincian grafiknya baik sekali.

Tetapan yang lebih rendah juga dibuat untuk melihat sama ada peranti ini mampu untuk mencapai frame rate yang lebih tinggi daripada 40fps.



 

 

 

 

 

 

 

 

Dengan menggunakan tetapan grafik "Smooth" serta frame rate "Extreme", permainan menjadi lebih responsif dengan purata 55-58fps dengan maksimum 60fps. Pada hemat kami, jika anda seorang yang mementingkan fps berbanding perincian grafik, anda boleh menukar kepada tetapan ini.



Frame rate yang tinggi sangat membantu terutamanya jika bermain mod Deathmatch, di mana semua pergerakan pemain dan aksi yang berlaku sangat pantas dan mendebarkan. Anda sangat digalakkan untuk menggunakan tetapan grafik "Smooth" dalam mod ini.

COD Mobile


Lain pula ceritanya dengan Call of Duty Mobile, permainan ini lebih ringan berbanding PUBG Mobile. Selesai masuk ke antaramuka menu, fps dilihat hanya berlegar disekitar 30fps sahaja, tidak lebih dari itu.



Kami seterusnya membuka tetapan grafik dan menetapkan grafik pada tahap maksimum iaitu graphic quality pada VERY HIGH dan frame rate juga VERY HIGH. Fps pada permainan terus meningkat kepada 60fps dan nampak stabil.



Tanpa melengahkan masa, kami pun terjun untuk sesi pertarungan Deathmatch yang pertama. Masuk sahaja ke dalam gelanggang bertarung, frame rate mendapat purata 56-59fps, maksimum 60fps. Permainan begitu lancar dan sangat stabil.



Sekitar 15 minit bermain, suhu mula meningkat purata 37-40°C namun tiada kejatuhan fps yang drastik dikesan.

Untuk COD Mobile, peranti lebih mudah untuk mencapai 60fps dengan kualiti grafik yang lebih tinggi berbanding PUBG Mobile. Walaupun begitu, ia masih mampu untuk bermain dengan frame rate sekitar 40fps yang agak baik meskipun pada tetapan grafik yang tinggi.

Walaupun suhu berada pada sekitar 40°C, peranti mempunyai sistem penyejukan LiquidCool dimana peranti tidak menunggu lama untuk sejuk sebaik sahaja aplikasi permainan ditutup. Sistem penyejukan ini membantu peranti menyebarkan haba dengan cara yang efisien untuk sesi permainan yang berpanjangan.

Hayat Bateri

Dengan bateri besar berkapasiti 4,500mAh, jika bermain dengan sesi yang berpanjangan, anda boleh bermain sekitar 4 jam 30 minit. Penurunan bateri hayat pula adalah bergantung pada tahap suhu yang dimainkan oleh peranti. Untuk kebanyakan situasi, bermain selama satu jam, anda boleh menjangkakan penurunan bateri sekitar 10%.

Jika bateri habis, anda boleh menggunakan pengecasan pantas 18W yang dibekalkan di mana ia mampu mengecas peranti dari 0% ke 62% dalam masa satu jam sahaja.

Perisian Membantu

Turut membantu peranti mengoptimumkan sesi bermain adalah Game Speed Booster. Terdapat pelbagai tetapan yang memudahkan anda untuk bermain dengan lebih efisien. Antaranya adalah "Performance mode" untuk memfokuskan rangkaian, pengoptimasian kawalan sentuh dan meningkatkan kualiti input audio ketika bercakap.

Selain itu, terdapat fungsi dinamakan "Enhanced experience", menghalang sebarang fungsi yang boleh mengacau permainan. Terdapat 4 pilihan iaitu menutup fungsi auto kecerahan, mod Reading, gestur screenshot, dan notifikasi.


Kesimpulan


Cip pemprosesan Helio G90T merupakan cip kelas flagship dari Mediatek yang memfokuskan kepada fungsi gaming. Melalui ujian kami, prestasi peranti ini ketika sangat baik meskipun bermain pada tetapan grafik yang tinggi. Suhu pula tidak mengalami kepanasan melampau walau bermain untuk sesi yang lama.

Dengan harga yang dijual secara rasmi bermula harga RM1,099, ia boleh dikatakan pembelian yang berbaloi untuk peranti yang mampu memainkan permainan dengan grafik yang tinggi.

Akhir kata, Redmi Note 8 Pro hadir dengan 4 kamera belakang dengan 64MP utama, 8MP sudut ultralebar, 2MP makro dan 2MP depth manakala kamera swafoto pula 20MP.

Anda sudah boleh mendapatkan Redmi Note 8 Pro dimana-mana kedai Xiaomi rasmi yang berhampiran atau melalui pembelian secara atas talian di Shopee atau Lazada. Menjelang jualan besar-besaran 11.11 ini, Xiaomi Malaysia turut membuat promosi harga peranti tersebut kepada RM999 dengan percuma kad mikroSD di Lazada.



Untuk ketahui peranti ini dengan lebih lanjut, anda boleh layari laman rasmi Xiaomi Malaysia.