[Ujian Gaming] Main PUBG Mobile Di Vivo NEX 3, Maksimum FPS, Bateri Dan Prestasi Keseluruhan

Kewujudan model Nex pada jenama Vivo pada mulanya adalah untuk mengetengahkan inovasi dan juga teknologi terkini. Vivo Nex 3 adalah peranti terkini dari Vivo yang menayangkan inovasi yang digelar skrin air terjun yang tiada pada mana-mana peranti lain di pasaran.

Peranti ini secara rasminya telah memasuki Malaysia pada 17 Oktober lalu dan kami berkesempatan untuk mencuba serta melihat dengan lebih dekat apa yang menarik di sebalik Vivo Nex 3 ini.



Dengan dilengkapi cip pemprosesan Snapdragon 855+ yang terkini, 8GB RAM dan bateri sebesar 4,500mAh membuatkan kami terfikir bagaimana prestasi peranti ini ketika bermain permainan. Untuk ujian gaming kali ini, kami sengaja memilih PUBG Mobile kerana kami ingin melihat bagaimana peranti ini mengendalikan permainan dengan grafik yang berat tersebut.

Dari 100%-0%, kami ingin melihat bagaimana purata fps permainan, sebarang kejatuhan fps, suhu maksimum, tetapan grafik tertinggi dan juga pengalaman keseluruhan bermain menggunakan peranti ini.

Sesi Bermain


Bermula pada 100% bateri, suhu yang dicatatkan adalah sekitar 30-32  sebelum bermain. Tetapan maksimum grafik yang boleh dicapai ialah HDR dan juga frame rate "Extreme".



Menavigasi antaramuka PUBG Mobile sangat lancar bak mentega dengan 60fps yang konsisten.



Jujurnya, memainkan PUBG Mobile pada Vivo NEX 3 sangat mengasyikkan kerana paparan yang penuh tanpa takuk seakan membawa pemain masuk sekali ke alam Erangel mencari musuh. Walaupun skrin sisi melengkung, tiada kandungan, butang, dan juga menu yang menyorok di sebalik lengkungan.

Jika ada pun yang terlindung, ia hanyalah maklumat grafik dan sambungan rangkaian di bahagian bawah belah kiri. Selain itu, skrin melengkung tersebut tidak mengganggu keselesaan bermain.



Disebabkan tetapan grafik tertinggi HDR tersebut, butiran grafik ketika bermain tersangat tinggi. Skrin peranti yang bersaiz 6.89 inci ini sangat besar jadi jari tidak menghalang pandangan serta resolusi grafik yang tinggi tersebut memudahkan anda melihat musuh dari jarak yang agak jauh.



Menghampiri 5-10 minit sesi bermain, suhu meningkat sedikit sekitar 35-37 namun tiada kejatuhan fps yang dikesan. Permainan kekal lancar walaupun rasa sedikit haba di belakang peranti. Suhu tersebut dikira suam-suam suku dan langsung tidak mengganggu permainan.

Namun, kami menjumpai satu masalah besar. Peranti ini dengan bateri 4,500mAhnya sukar untuk dihabiskan dalam masa singkat. Dari 100%-0%, Vivo NEX 3 mengambil masa sekitar 5 jam 5 minit untuk dihabiskan dimana agak menakjubkan memandangkan kami menggunakan tetapan HDR dengan purata 60fps yang sangat konsisten.



Suhu maksimum peranti yang dicatat ketika bermain adalah 38°C dan peranti tidak mengalami kepanasan yang melampau walaupun dikerah bermain sepanjang hari. Satu perkara yang kami perasan adalah sekalipun hayat bateri mencecah satu digit (10%-0%), permainan kekal lancar tanpa kejatuhan fps.

Terdapat juga perisian yang membantu ketika bermain permainan yang dinamakan  Ultra Game Mode. Ketika bermain, fungsi ini akan dikecilkan supaya tidak mengganggu paparan utama pengguna. Antara kelebihan fungsi ini adalah menolak panggilan serta notifikasi dan juga keseluruhannya menjadikan prestasi peranti lebih sesuai ke arah suasana gaming.

Di dalamnya juga terdapat satu mod khas dipanggil Esport Mode yang digunakan oleh pemain professional esukan. Menggunakan Esports Mode akan mematikan aplikasi selain permainan, mengurangkan lengah antara sentuhan dengan aksi, dan juga mengoptimasikan CPU dan GPU ketika bermain.



Anda juga boleh menggunakan fungsi Voice Changer untuk menukar suara seperti robot, komando, kowboi dan juga bayi.



Kesimpulannya, kami sangat berpuas hati dengan prestasi permainan yang ditunjukkan oleh Vivo NEX 3.  Dengan pengalaman bermain yang konsisten 60fps, ia mengendalikan permainan seakan peranti gaming.

Vivo NEX 3 merupakan peranti kelas flagship dengan rekaan skrin melimpah ke sisi sebesar 6.89 inci tanpa takuk FullHD+ AMOLED, 3 kamera belakang dengan 64MP utama, 13MP ultralebar dan 13MP telefoto. Kamera swafoto pula 16MP dengan motor terangkat.

Dengan harga rasmi RM3,899, anda boleh mendapatkan Vivo NEX 3 ini dimana-mana kedai Vivo yang berhampiran atau melalui pembelian secara atas talian di Shopee mahupun Lazada.