Uber Tampil Dengan Fungsi Perbualan Dalam Aplikasi

Uber kini memberi nafas baru terhadap aplikasi mereka dimana ciri perbualan dalam aplikasi telah mula diperkenalkan.

Dengan penambahan ciri tersebut, ia sudah pasti dapat memudahkan komunikasi antara pemandu dan penumpang tanpa perlu memberikan nombor telefon masing-masing.

Pengguna Uber kebiasaannya perlu menghubungi pemandu menerusi aplikasi luar seperti, SMS, WhatsApp dan lain-lain, tetapi dengan adanya ciri baru ini, bakal penumpang dan pemandu dapat berhubung dengan lebih pantas dan mudah.

Cara untuk menggunakan aplikasi ini adalah dengan pergi ke bahagian Uber Feed dan tekan pada butang Contact > Chat. Seterusnya anda akan dibawa ke antaramuka fungsi perbualan itu.





Mesej yang dikirim oleh bakal penumpang akan dibacakan secara kuat oleh aplikasi supaya tumpuan pemandu tidak terjejas. Selepas itu, pemandu boleh memberi respons dengan membalas "thumbs up" dan kedua-dua pemandu serta bakal penumpang boleh melihat sama ada mesej mereka sudah diterima dan dibaca (akan terpapar perkataan "read").

Perbualan dalam aplikasi akan mula ditawarkan secara global bermula minggu akan datang. Kini pemandu tidak perlu lagi bersusah payah keluar masuk aplikasi hanya untuk menghubungi bakal penumpang.

Sumber: Uber