Laporan OpenSignal: U Mobile Rangkaian Paling Ketara Menunjukkan Peningkatan Prestasi

Opensignal meraikan ulang tahun ke-10 dengan Anugerah Global 2020. Menurut laporan terbarunya, U Mobile telah menunjukkan peningkatan yang ketara antara separuh pertama tahun 2019 hingga separuh pertama 2020.

Ia adalah salah satu daripada 30 syarikat telekomunikasi teratas di dunia yang menerima anugerah Global Rising Star Opensignal.



U Mobile adalah salah satu daripada empat pengendali mudah alih di seluruh dunia untuk mencapai peningkatan pada keempat-empat metrik dalam kategori ini: Pengalaman Video, Pengalaman Kelajuan Muat turun, Pengalaman Kelajuan Muat Naik dan Ketersediaan 4G.



Laporan terbaru dianalisis dari sejumlah 403,023,311,230 pengukuran yang dicatatkan dari 95,867,800 peranti antara tempoh 1 Januari - 28 Jun untuk 2019 dan 2020. U Mobile adalah satu-satunya telco Malaysia yang memasuki senarai Global Rising Stars.

Tambahan lagi, Opensignal juga berkongsi bahawa pengguna di rangkaian U Mobile menyaksikan kelajuan mereka meningkat 69% antara separuh pertama 2019 dan separuh pertama 2020 sementara kelajuan muat naik meningkat 127.8% pada tempoh yang sama.



Dari segi pengalaman video, U Mobile mencatat peningkatan 39.2% sementara ketersediaan 4G meningkat 18.6%.

Untuk makluman, anugerah ini hanya dilakukan terhadap peningkatan yang dibuat oleh syarikat telekomunikasi.

Berdasarkan laporan terakhir untuk Malaysia, Maxis masih menjadi pemenang dari segi video, permainan, muat turun, muat naik dan pengalaman latensi. Manakala, Celcom masih mengungguli di kedudukan pertama dalam ketersediaan dan liputan 4G.



Walaupun U Mobile berada di belakang 3 syarikat telekomunikasi yang lain dalam pelbagai kategori, terdapat peningkatan kelajuan dan ketersediaan 4G yang ketara dari laporan April 2019 dan April 2020.

Purata kelajuan muat turun meningkat dari 4.2Mbps ke 7.4Mbps sementara purata kelajuan muat naik meningkat dari 2.6Mbps ke 6.1Mbps. Selain itu, ketersediaan 4G pula meningkat dari 64.5% kepada 77.5%.

Pengendali yang telah mencapai status Pemenang Global dan Pemimpin Global telah melakukannya berdasarkan usaha dan pelaburan kumulatif selama bertahun-tahun.

Walau bagaimanapun, Opensignal juga menyedari pencapaian pengendali, seperti U Mobile, yang telah mencapai kemajuan pesat dalam jangka waktu yang singkat.