U Mobile Lancar Program Mini Wechat Go Malaysia Untuk Pengunjung Dari Tanah Besar China Ke Malaysia

Baru-baru ini U Mobile telah bekerjasama dengan WeChat, sebuah platform komunikasi dari China untuk melancarkan dua Program Mini dalam ekosistem WeChat. Kedua-dua program ini yang dinamakan Program Mini WeChat GO Malaysia dan Program Mini Pavilion KL, direka khas bagi menawarkan pengalaman pelancongan digital di Malaysia berdasarkan gaya hidup serta keperluan pengunjung dari Tanah Besar China.



Program Mini WeChat GO Malaysia bertujuan untuk menjadi teman perjalanan yang serba lengkap bagi pengunjung dari Tanah Besar China. Ia membolehkan mereka mendapatkan maklumat berkaitan tarikan pelancongan, makanan, budaya, dan tempat beli-belah di Malaysia menerusi satu panduan bahasa Cina interaktif dalam Program Mini tersebut. Selain itu, mereka juga boleh membuat bayaran dengan RMB untuk rakan-rakan perdagangan berikut:

  • POS Malaysia: Pengunjung dari Tanah Besar China boleh memilih daripada satu senarai rekaan poskad yang menampilkan destinasi-destinasi percutian yang popular di Malaysia dan memperibadikan mesej mereka. POS Malaysia akan mencetak dan menghantar poskad mereka ke mana-mana alamat di Tanah Besar China. Tambahan pula, senarai poskad tersebut didatangkan dengan ciri penjejakan dan tanda pos berdasarkan destinasi spesifik.

  • KLIA Express: Tempah dan bayar untuk tiket sebelum menaiki kereta api ke lapangan terbang. Tiket QR akan disimpan dalam Program Mini. Di samping itu, U Mobile dan KLIA Express sedang meneroka peluang untuk menambahkan rangkaian perkhidmatan KLIA Express bagi memenuhi keperluan pengunjung dari Tanah Besar China dengan lebih baik.

  • TripCarte: Tempah dan bayar untuk tiket ke tarikan pelancongan di Malaysia. Pengguna hanya perlu menggunakan tiket QR yang disimpan dalam Program Mini untuk mengakses tarikan pelancongan.

  • CatchThatBus: Tempah dan bayar untuk tiket bas sebelum perjalanan. Malah, pelanggan juga boleh memilih tempat duduk mereka dengan Program Mini. Mereka hanya perlu menunjukkan butiran tempahan kepada kakitangan sebelum menaiki bas.


Manakala bagi program Program Mini Pavilion KL pula, ia bertujuan untuk mempertingkatkan pengalaman pengunjung dari Tanah Besar China di pusat beli-belah Pavilion KL. Bagi menjamin komunikasi yang lancar antara kumpulan pengunjung tersebut dengan perniagaan di Pavilion KL, program ini didatangkan dalam dua bahasa, iaitu bahasa Cina dan Inggeris. Berikut adalah manfaat-manfaat utama program ini:

  • Pengunjung dari Tanah Besar China boleh membuat tempahan, memesan dan membayar untuk makanan mereka menerusi Program Mini secara mudah di lebih 30 perniagaan makanan & minuman (F&B) yang menyertai program ini, seperti The Loaf, DOME, Michelangelo’s, Laduree, Kakiyuki dan lain-lain lagi.

  • Bagi perniagaan peruncitan dan fesyen pula, pengunjung dari Tanah Besar China boleh pesan dan bayar untuk barangan pilihan mereka menerusi Program Mini, dan pergi mendapatkan barangan tersebut apabila telah sampai, sekaligus menjimatkan masa mereka yang berharga.

  • Contohnya, Mercato Supermarket di Pavilion KL mempunyai Program Mini tersendiri dalam Program Mini Pavilion KL. Program Mini Mercato bukan sahaja membolehkan pengunjung dari Tanah Besar China membeli pelbagai produk tempatan seperti kopi segera dan coklat beperisa durian, tetapi juga mengumpulnya dari Mercato Supermarket di Pavilion KL mengikut kesesuaian masa mereka.




Menurut Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck:

“U Mobile teruja kerana berpeluang mengukuhkan lagi kerjasama kami dengan WeChat dengan melancarkan bukan satu tetapi dua Program Mini. Program Mini WeChat GO Malaysia akan berfungsi sebagai panduan interaktif yang penting untuk pengunjung dari Tanah Besar China bagi semua perkara berkaitan dengan Malaysia, manakala Program Mini Pavilion KL akan meningkatkan lagi pengalaman jamu selera dan beli-belah mereka di Pavilion KL. U Mobile yakin bahawa Program Mini WeChat GO Malaysia dan Program Mini Pavilion KL akan menjadi platform terbaik yang membolehkan perniagaan di Malaysia mencapai pengunjung dari Tanah Besar China. Kedua-dua Program Mini ini akan membantu perniagaan meningkatkan kehadiran dalam kalangan pengunjung tersebut, sekaligus meningkatkan potensi pendapatan mereka. Di samping itu, kedua-dua Program Mini ini juga akan memacu pertumbuhan industri pelancongan dengan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang mudah diakses dan menarik. "

Berkaitan