U Mobile Dan Huawei Malaysia Bekerjasama Meneroka Rangkaian 5G

U Mobile telah menandatangani Letter of Intent (LOI) bersama Huawei Malaysia, dan langkah kerjasama ini juga merupakan persediaan untuk telekomunikasi 5G pada tahun hadapan. Kerjasama antara dua syarikat tersebut akan dilaksanakan di Malaysia termasuklah dengan menjalankan "5G live trials".

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Huawei Malaysia sebagai sebahagian daripada perjalanan strategi 5G. Usaha sama ini akan memastikan faedah paling maksima boleh dicapai apabila rangkaian 5G akan mula dikomersialkan di Malaysia nanti", kata Wong Heang Tuck, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile.

Kapsyen: (Dari kiri bahagian hadapan) Wong Heang Tuck, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile dan Michael Yuan, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia.


Michael Yuan, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia turut menyatakan bahawa pihak mereka sangat teruja dapat bekerjasama dengan U Mobile untuk meneroka kepimpinan teknologi 5G Huawei pada kelajuan Gigabit, dan rangkaian komunikasi besar-besaran di Malaysia. Huawei berharap untuk dapat berkembang bersama-sama sebagai pemimpin dalam Inovasi Perkhidmatan 5G.

Majlis ini telah diadakan di ibu pejabat Huawei di Dongguan, China dan LOI tersebut ditandatangani oleh kedua-dua ketua pegawai eksekutif mereka.