Twitter Pernah Ingin Ambil Alih Clubhouse Dengan Nilai RM16.5 Bilion

Twitter kini dilaporkan telah menghentikan perbincangan untuk mengambil alih Clubhouse, iaitu aplikasi media sosial yang memfokuskan komunikasi berasaskan audio.

Menurut Bloomberg, syarikat itu pada mulanya dikatakan ingin mengambil alih Clubhouse dengan nilai AS$4 bilion atau kira-kira RM16.5 bilion. Bagaimanapun, perbincangan antara kedua-dua pihak telah pun dihentikan.

Buat masa ini, belum diketahui alasan yang jelas mengapa perbincangan berkenaan dihentikan. Bagi pihak Twitter dan Clubhouse sendiri, tiada kenyataan lanjut yang diberikan berhubung perkara berkenaan.

Terdahulu, populariti Clubhouse telah meningkat naik dengan jumlah muat turun melebihi 8.1 juta di App Store. Berikutan itu, semakin banyak aplikasi lain juga ingin turut serta dalam menawarkan perkhidmatan sedemikian.

Twitter juga telah pun mempunyai Spaces yang berfungsi seumpama Clubhouse.

Sumber: Bloomberg