Twitter Melaporkan Mereka Bertindak Menutup Ribuan Akaun Palsu Di Seluruh Dunia

Berikutan pelanggaran polisi dan manipulasi berita di platfom tersebut.


Twitter hari ini di laman blog mereka memaklumkan bahawa ribuan akaun Twitter di seluruh dunia telah ditutup kerana didapati menyebarkan berita palsu selain propaganda prokerajaan termasuklah 273 akaun di Emiriah Arab Bersatu (UAE), 4,302 akaun di China, 1,019 akaun di Ecuador  dan 265  akaun di Sepanyol.

Akaun dari China yang cuba menyemai sentimen perpecahan dikalangan penunjuk perasaan Hong Kong telah ditutup begitu juga akaun yang memperbesar-besarkan mesej pro Arab Saudi dari Mesir dan UAE yang disasarkan kepada Qatar dan Yaman.

Tindakan tersebut diambil adalah sebahagian daripada usaha Twitter untuk meningkatkan pemahaman bagaimana platform mereka digunakan oleh pelaku di sesebuah negara untuk memanipulasi pendapat umum.

Twitter melaporkan, mereka mengenal pasti sebanyak 4,302 akaun yang berpangkalan di China telah cuba menyemai sentimen perpecahan menerusi tunjuk perasaan di Hong Kong.

Ini berikutan penemuan lebih daripada 200,000 akaun palsu di China dalam bulan Ogos lalu sahaja yang terbabit dalam membakar api perpecahan dikalangan penduduk awam di Hong Kong.

Pengumuman Twitter ini dibuat susulan selepas Facebook bertindak menutup akaun palsu yang berpangkalan di Mesir, Arab Saudi dan UAE bulan lalu kerana menyebarkan maklumat palsu mengenai kawasan bergolak termasuk Libya, Sudan dan Yaman.