Twitter Dikhabarkan Mahu Buang Butang "Like"

Twitter dilaporkan mahu membuang butang Like berbentuk hati pada platform mereka sepertimana yang dilaporkan oleh Telegraph berdasarkan kenyataan daripada CEO Twitter, Jack Dorsey.

Butang Like itu pertama kali muncul pada 2015 bagi menggantikan butang Favourites yang berbentuk bintang.

Dalam kenyataannya minggu lalu, Dorsey mengaku bahawa beliau bukanlah peminat butang tersebut dan ciri itu bakal dibuang tidak lama lagi.

Tindakan untuk membuang butang itu menimbulkan sedikit kebingungan dalam kalangan pengguna kerana hampir semua media sosial menggunakan konsep butang Like ini.

Menjelaskan perkara tersebut, Twitter mahu menambahbaik komunikasi dalam platformnya itu. Mereka tidak mahu pengguna hanya membuat perkongsian kerana mahukan like semata-mata. Seperti contoh, jika tidak mencapai jumlah like yang diingini, pengguna akan memadam tweet yang dimuat naik.

Sesetengah pengguna menggunakan ciri ini sebagai "penanda" bagi memudahkan tweet dicari dan dibaca semula dari bahagian Likes.

Disebabkan itu, pada awal tahun ini, Twitter telah memperkenalkan fungsi Bookmark, memudahkan pengguna menandakan perkongsian media sosial terbabit.

Diharapkan dengan pembuangan butang itu, Twitter bolehlah menggantikannya dengan butang Bookmark supaya ia lebih pantas diakses tanpa perlu menekan butang Share terlebih dahulu.

Sumber: Telegraph