Twitch Menjadi Laman Sesawang Terbaru Dihalang Di China

Seperti yang diketahui, China mempunyai polisi berkaitan internet yang menyebabkan beberapa laman sesawang terkemuka, terutamanya dari Amerika dihalang daripada diakses di negara berkenaan.

Selepas laman seperti Google, YouTube dan Facebook, kini laman penstriman permainan video terkenal Twitch turut menjadi mangsa seterusnya. Malah, aplikasi mudah alihnya juga telah dibawa keluar dari Apple App Store China.

Twitch melonjak ke tangga ke-tiga pada senarai muat-turun aplikasi percuma terbanyak di China pada bulan lepas. Ini kerana peminat permainan video tempatan memuat-turun Twitch bagi menonton perlawanan e-Sukan yang berlangsung di Sukan Asia Indonesia baru-baru ini.

Kredit : Akurat.co


Untuk pengetahuan semua, kerajaan China mempunyai polisi agak "pelik" apabila mereka akan menyekat akses platform media barat yang sedang melonjak popularitinya. Ia dilakukan atas alasan untuk langkah berjaga-jaga sebelum sebarang kontroversi melanda platform tersebut.

Dengan sekatan ini, Twitch yang berada di bawah naungan Amazon telah menyertai Google, Facebook, Twitter, Youtube dan banyak lagi dalam senarai hitam arena Internet China.

Walaupun nampak agak keterlaluan, mungkin kerajaan China mempunyai alasan tersendiri untuk melakukan perkara ini.

 

Sumber