Tuntutan Mahkamah Selesai, Apple Perlu Bayar Lebih RM133 Juta Kepada Pekerja

Tahun lalu, Apple telah bersetuju untuk membayar $30 juta (~RM133,785,000) kepada pekerja di California bagi menyelesaikan tuntutan mahkamah berhubung polisi pemeriksaan beg pekerja.

Terkini, hakim Mahkamah AS telah meluluskan penyelesaian oleh Apple, di mana syarikat itu bersetuju untuk membayar tuntutan bernilai $30 juta itu. Dianggarkan, setiap pekerja akan menerima bayaran purata $1,328, manakala peguam dalam kes itu akan memperoleh $10 juta.

{suggest}

Mengimbas kembali, saman tersebut telah difailkan terhadap Apple sejak 2013, yang menjadikan proses tuntutan yang dijalankan begitu lama. Menurut pekerja, Apple telah memaksa mereka untuk membuat pemeriksaan sebelum pulang, termasuk menggeledah beg, dompet, beg galas, peranti peribadi dan sebagainya.

Ketika itu, Apple mendakwa pemeriksaan itu dilakukan bagi memastikan pekerja tidak mencuri produk. Namun, pekerja menyatakan mereka sering kali perlu menunggu selama 45 minit selepas syif untuk tujuan pemeriksaan itu, dan tidak dibayar untuk tempoh tersebut.

Lebih mengejutkan, melalui tuntutan mahkamah itu turut mendedahkan Tim Cook sebahagian besarnya tidak mengetahui kewujudan polisi berkenaan dan selepas mengetahui hal itu, Cook telah menghantar e-mel kepada eksekutif Sumber Manusia dan bertanya jika benar polisi tersebut.

Tuntutan saman itu pernah ditolak pada 2015. Setelah rayuan dibuat, mahkamah pada 2020 memutuskan Apple diperintah untuk membayar kepada pekerja yang terkesan.

Sumber: 9to5Mac