Tunggu Dulu, Kemunculan Huawei P30 Semakin Hampir- Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

Tahun lepas kita dikejutkan dengan siri P20 dengan binaan 3 kamera dan kita pun sudah tahu cerita seterusnya. Sehingga kini Huawei P20 masih lagi berada di kelompok teratas dalam liga kamera.

Tahun ini kita sekali lagi bakal menyaksikan pertaruhan terbaru untuk siri Huawei P30 yang semakin hampir kemunculannya.

Bila Ia Akan Diperkenalkan?




Huawei sudah pun mengumumkan tarikh rasmi pelancaran global Huawei P30 di Paris pada 26 Mac ini. Jika dilihat, Malaysia antara pasaran terawal yang akan menerima peranti baru dari Huawei, maka kami menjangkakan Huawei P30 akan mendarat di Malaysia seawal 28-30 Mac ini.

Binaan 'Quad-Camera' Dengan Kerjasama Leica


Siri-P dari Huawei sentiasa menjadi peranti flasghip berinovasi dari segi fotografi. Bermula dengan Huawei P9 dengan dwi-kamera, antara peranti pertama yang membawakan lensa kedua untuk efek 'BOKEH'.

Sebelum ini, CEO Huawei, Richard Yu pernah berkongsikan satu gambar yang memaparkan imej bulan yang dipercayai diambil menggunakan Huawei P30 Pro.



Dalam gambar ini kita dapat lihat dengan jelas 'watermark' yang menunjukkan gambar tersebut diambil oleh Huawei P30 Pro walaupun ia dikaburkan. Melalui gambar ini kami juga yakin ia akan hadir dengan tetapan 4 kamera sekali lagi dengan kerjasama Leica.

Kemudian muncul lagi satu gambar yang menguatkan lagi dakwaan kamera Huawei P30 Pro akan memiliki keupayaan zoom yang dasyat melalui perkongsian dari Pengurus Produk Huawei, Bruce Lee.





Clement Wong(Naib Presiden Pemasaran Produk Global Huawei) turut mengesahkan ia akan hadir dengan kamera jenis periskop yang menyokong fungsi “superzoom”.

Walaubagaimanapun, beliau menolak untuk memberi sebarang komen mengenai laporan menyatakan ia(superzoom) adalah 10x pengzooman optikal.

Wong hanya memberitahu bahawa kamera Huawei P30 Pro itu mampu melakukan “perkara yang tidak pernah dilakukan sesiapa sebelum ini”.

Beliau juga memberitahu bahawa kamera Huawei P30 juga akan mempunyai fungsi malam yang lebih baik dan bukan hanya bergantung kepada perisian sahaja.

Tahun Lepas Rekaan 'Twilight' Dwi-Tona, Tahun Ini Apa Pula?


Sebuah portal  WinFuture baru-baru ini telah mendedahkan rekaan render rasmi bagi kedua-dua model dalam siri berkenaan yang juga memberi gambaran berkenaan beberapa ciri yang bakal dimiliki oleh peranti tersebut.



Bagi model P30 Pro, ia akan hadir dengan empat kamera yang mana tiga sensor kamera utama dan satu lagi dipercayai adalah sensor ToF yang dipasang secara bersebelahan.

Panel belakangnya mempamerkan rekaan warna seakan kain sutera. Di bahagian depan, paparan skrin OLED yang digunakan bakal hadir dengan rekaan takuk kecil atau “waterdrop”.



Untuk model asas pula, ia hanya akan hadir dengan tiga lensa kamera tanpa sensor tambahan yang dimiliki oleh versi Pro. Pada bahagian depan, ia kelihatan sama seperti yang ditawarkan pada P30 Pro.

Spesifikasi Dalaman


Huawei selalunya mengumumkan cip Kirin baru untuk peranti Mate seterusnya dan kami sangat yakin untuk siri-P terbaru kali ini ia akan dimuatkan dengan Kirin 980 sama seperti apa yang diperlihatkan pada Huawei Mate 20.

Kami jangkakan P30 kali ini akan dimuatkan dengan RAM minima 6GB bersama saiz bateri paling kurang 4,000mAh.

Siap Sedia! Aksesori Percuma Untuk Pembelian Awal Huawei P30




Menurut satu laporan daripada sumber yang kami sangat percayai, pihak Huawei Malaysia turut akan mengumumkan satu external hard drive bersaiz 1TB yang digelar Huawei Backup.

Melalui Huawei Backup ini, pengguna dapat membuat salinan data dan untuk pengecasan.

Seperti biasa, Huawei mungkin akan menawarkan Huawei Backup ini secara percuma bagi yang membeli Huawei P30 semasa pelancaran atau Road Show.

Penyimpanan data 1TB secara percuma, nice!