Tumblr Akan Mula Sekat Kandungan Lucah Bermula 17 Disember Ini

Bulan lalu pengguna iOS telah maklum bahawa aplikasi Tumblr telah ditarik dari senarai muat turun App Store berikutan penularan pornografi kanak-kanak pada platform tersebut.

Pengumuman terbaru dari Tumblr, kandungan dewasa atau lucah yang dimuatkan dalam aplikasi itu bakal disekat bermula 17 Disember ini.

Bagi pemegang akaun yang ada memuat naik kandungan lucah, mereka akan menerima emel pemberitahuan kandungan itu akan ditanda sebagai kandungan dewasa. Tetapan privasi kandungan itu akan diubah dan ia hanya boleh dilihat oleh pemilik kandungan sahaja.

Langkah tandaan itu dikatakan sudah berjalan, namun terdapat beberapa perkongsian ilustrasi dari pelukis disalah anggap sebagai kandungan lucah.

Dikutip dari The Verge, CEO Tumblr Jeff D'Onofrio menjelaskan "Kami bergantung pada alat automatik untuk mengenal pasti kandungan dewasa dan manusia untuk membantu melatih dan memastikan sistem kami diperiksa. Kami tahu akan ada kesilapan."

Bagi kandungan yang bukan tergolong dalam kategori dewasa itu, tetapi telah disalah tanda sebagai lucah, pemilik akaun boleh memaklumkan kepada pihak Tumblr untuk tindakan lanjut.

Sumber: Tumblr dan The Verge