Tular Pelajar Panjat Pokok, TM Telah Menaiktaraf Sambungan Internet 300Mbps

Bulan lalu, tular mengenai pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok demi mendapatkan internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian. SKMM kemudiannya telah membuat tinjauan di Kampung Sapatalang di Pitas, Sabah pada 15 Jun lalu.

Terbaru, Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui TM Sabah telah menaiktaraf Pusat Internet Kampung Pinggan-Pinggan, Pitas dengan menggunakan sambungan gentian fiber 300Mbps bagi memberikan liputan lebih berkualiti di sekitar kawasan tersebut. Pusat Internet itu merupakan yang terdekat dengan kampung pelajar berkenaan.

Kapsyen: TM Berhad


Menurut TM, Pusat Internet itu juga merupakan yang pertama di Sabah dengan kelengkapan sambungan internet berkelajuan tinggi sehingga 300Mbps. TM turut menyediakan akses awam melalui Wi-Fi di sekitar kawasan Pusat Internet itu.

Dalam pada itu, TM menyatakan akan meneruskan lebih banyak pelaburan dalam infrastruktur yang meliputi kawasan bandar dan luar bandar untuk menyediakan akses dan capaian sambungan internet.

Sumber: Telekom Malaysia