Tukar Nama Paparan Twitter Kepada Elon Musk, Dan Akaun Anda Akan Dikunci

Sejak beberapa hari lalu, nama Elon Musk menjadi tular di laman Twitter. Ia bukan kerana usahanya dalam mengeluarkan mangsa yang terperangkap di gua Thailand, namun disebabkan penggunaan namanya oleh spam bot yang dikaitkan dengan pengiklanan penipuan matawang kripto.

Atas sebab itu, Twitter kini akan mengunci setiap akaun yang menggunakan nama paparan 'Elon Musk' bagi mengesan spam bot yang terlibat. Bagi pengguna yang menggunapakai nama tersebut, anda akan diminta untuk mengesahkan nombor telefon dan menyempurnakan ujian CAPTCHA sebelum dibenarkan untuk mengakses akaun anda semula.



Twitter mendakwa mereka perlu untuk mengambil tindakan berikut bagi mengesan dan membanteras kelakuan dan aktiviti yang meragukan daripada pengguna mereka. Untuk pengetahuan anda, spam bot tidak akan dapat menyempurnakan ujian CAPTCHA tersebut dan ia sekaligus akan membantu usaha Twitter untuk mengesan mereka.

Sebelum ini Twitter telah memadam jutaan akaun yang diragui dan dikenalpasti sebagai bot dari laman sesawang mereka. Tindakan mereka kali ini menunjukkan mereka benar-benar serius dalam memastikan platform tersebut bebas dari aktiviti dan salah laku atas talian yang tidak sepatutnya.

Sumber