Trafik Beli-Belah Atas Talian Malaysia Adalah Yang Tertinggi Berbanding 6 Buah Negara Semasa Kempen 11.11

Pengguna Malaysia telah membelanjakan kira-kira RM20 juta untuk membeli-belah dalam talian pada 11 November lalu.


Trafik beli-belah dan jumlah pesanan atas talian di Malaysia semasa kempen beli-belah dalam talian ‘11.11 Singles Day’ merupakan yang tertinggi berbanding enam negara  tahun ini, menurut platform pulangan tunai dalam talian, ShopBack Malaysia.

Data terkumpul itu adalah perbandingan dari enam negara Asean iaitu Singapura, Malaysia, Filipina, Indonesia, Thailand dan Taiwan yang mana menunjukkan Malaysia menduduki tempat pertama dari segi jumlah trafik beli-belah, sama ada dari laman web atau aplikasi, diikuti Thailand dan Filipina.

Selain itu dianggarkan 90 peratus trafik beli-belah Malaysia adalah menerusi aplikasi, Singapura (80 peratus), Filipina, Indonesia dan Thailand (kesemua 95 peratus) serta Taiwan (70 peratus).

Trafik beli-belah dalam talian di Malaysia untuk ‘Singles Day’ tahun ini meningkat lebih 10 kali ganda daripada angka yang dicatatkan pada 2018.

ShopBack Malaysia merekodkan pertumbuhan lebih 80 peratus tahun ini dari segi jualan bagi rakan kongsi e-dagangnya pada 11 Nov 2019, berbanding tahun lepas.

ShopBack berkata pembeli Malaysia mencatatkan jumlah pesanan tertinggi di mana secara purata, lebih 6,000 pengguna membuat sekurang-kurangnya satu pesanan melalui ShopBack Malaysia bagi setiap jam.

Angka itu adalah sekurang-kurangnya lima kali ganda lebih tinggi berbanding hari biasa ShopBack bagi November dan tiga kali ganda berbanding pada 11 Nov tahun lepas.

Pengurus Besar Negara ShopBack Malaysia, Eddy Han berkata pihaknya menganggarkan pengguna ShopBack Malaysia telah membelanjakan kira-kira RM20 juta untuk membeli-belah dalam talian pada  kempen 11 November lalu dalam tempoh 24 jam.

Berbanding 11 November tahun lalu, ShopBack Malaysia hanya mencatatkan jualan bernilai RM11 juta sahaja dalam tempoh sehari.

Menurut ShopBack Malaysia, secara purata purata pengguna Malaysia membelanjakan kira-kira RM217 manakala pengguna berbelanja paling banyak telah membuat pesanan bernilai RM30,000 dengan Lenovo melalui ShopBack.

Malaysia juga mendahului dari segi membuat lebih 100 pesanan dalam tempoh seminit, diikuti Indonesia (lebih 90 pesanan dalam masa seminit) dan Thailand (lebih 80 pesanan dalam seminit).

Tiga platform dalam talian paling popular di Malaysia iaitu Lazada, Shopee dan Taobao dengan ShopBack mendapati jumlah trafik beli-belah meningkat kira-kira empat hingga tujuh kali lebih tinggi bagi platform tersebut pada 11 November lalu berbanding hari-hari biasa pada November.

Di peringkat rantau, Lazada dan Shopee muncul sebagai antara tiga platform paling utama bagi setiap negara. Pada masa ini, lebih dua juta pembeli melayari laman web atau aplikasi ShopBack sebelum mereka mula membeli-belah.

Sumber: Bernama

P/s: Kempen beli-belah ‘Singles Day’ Alibaba pula mencapai jumlah jualan sebanyak USD38 bilion dalam tempoh 24jam pada 11 November lalu.