Tourism Perak Guna Aplikasi 'TikTok' Sebagai Strategi Promosi Sektor Pelancongan

Pihak Tourism Perak telah memilih platform 'TikTok', iaitu sebuah aplikasi video singkat untuk diguna pakai bagi mempromosikan sektor pelancongan negeri tersebut.

Penggunaan Tiktok ini mungkin antara strategi yang menarik untuk negara kita guna bagi mengajak pelancong hadir ke Malaysia bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Tanpa kita sedari, aplikasi TikTok ini telah mendapat sambutan yang hangat daripada kalangan generasi remaja yang tinggal di Asia Tenggara dan Barat. Mungkin dengan cara ini juga, Tourism Perak akan meraih perhatian daripada pihak luar.

"Kerjasama bersama TikTok dengan melancarkan kempen dari semasa ke semasa akan menaikkan nama Perak di persada dunia," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing.



Selain itu, pihak Tourism Perak merancang untuk menghasilkan lebih banyak isi kandungan berbentuk digital untuk dipromosikan dalam pelbagai aplikasi media sosial, berikutan ramai pelancong kini fokus mencari maklumat di sana.

Weibo dan Wechat juga akan turut diguna pakai untuk mempromosi negeri Perak di pasaran China bagi membantu usaha pihak swasta mewujudkan penerbangan terus ke Ipoh dari Guangzhou, China.

 

Sumber: Bernama