Touch 'n Go eWallet, Boost, GrabPay Rasmi Jadi Rakan Kongsi e-Tunai Rakyat

Persiapan akhir bagi pelaksanaan e-Tunai Rakyat kini giat dijalankan dan bakal dilancarkan bermula 15 Januari 2020. Berikutan dengan program rangsangan digital berjumlah RM 450 juta yang telah diumumkan oleh Kementerian Kewangan, ia sebenarnya bertujuan untuk merangsang serta menggalakkan penggunaan e-dompet dalam kalangan pengguna dan peniaga tempatan.

Khazanah Nasional Bhd yang dilantik oleh kementerian hari ini mengumumkan bahawa Touch 'n Go eWallet, Boost dan GrabPay dipilih untuk menyertai inisiatif e-Tunai tersebut. Dalam pada masa yang sama, kerja-kerja pelaksanaan yang diselaraskan oleh Khazanah Nasional ini merupakan usaha komprehensif untuk memastikan inisiatif e-Tunai Rakyat dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.

"Rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang berpendapatan kurang dari RM 100,000 setahun akan layak menerima RM 30 setiap seorang,” kata dana kekayaan negara dalam kenyataan kepada Bernama.

Selain itu, penyedia perkhidmatan e-dompet ini dipilih berdasarkan bilangan besar pengguna aktifnya, serta kepakaran teknikal yang dimiliki. Ia juga bakal merancang untuk menawarkan insentif tambahan bagi menggalakkan penggunaan sepanjang tempoh dua bulan inisiatif ini dilaksanakan.

Untuk maklumat lanjut berkaitan e-Tunai Rakyat, layari laman web Touch 'n Go eWallet, Boost dan GrabPay.

 

Sumber: Bernama