TM Percepatkan Perbincangan Masalah Streamyx Dengan Kerajaan

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) sedang mencari pendekatan 'menang-menang' dengan kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelanggan Streamyx.

Syarikat telekomunikasi itu berkata, Streamyx masih berjalan melalui rangkaian legasi tembaga dan menghadapi banyak cabaran seperti keterbatasan teknologi, dengan kelajuan maksimum penghantaran setakat 8Mbps.

"TM akan berusaha untuk mempercepatkan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi meneroka potensi opsyen kerjasama dan teknologi yang sesuai bagi mengoptimumkan mekanisme industri sedia ada dalam usaha untuk memberikan pengalaman jalur lebar terbaik merentasi seluruh negara," kata syarikat itu sebagai respons kepada kenyataan SKMM mengenai "kemerosotan yang membimbangkan" dalam penyampaian perkhidmatan TM awal hari ini.

Sehingga sekarang, TM telah berjaya menaik taraf 50 peratus daripada 340,000 pelanggan Streamyx yang tinggal dalam lingkungan liputan unifi kepada perkhidmatan unifi tanpa tambahan harga dan TM mahu menyelesaikan langkah naik taraf itu menjelang Mac 2019.

Untuk pelanggan Streamyx yang tinggal di kawasan yang bukan di bawah liputan unifi, syarikat itu komited untuk terus melabur dalam teknologi yang mampu menggandakan kelajuan Streamyx pada harga yang sama dengan pelan jalur lebar mereka sekarang ini, katanya lagi.

"Naik taraf kelajuan percuma ini akan memberi faedah kepada 180,000 pelanggan di kawasan bukan liputan unifi. Kamu mahu menyelesaikan langkah naik taraf ini menjelang Disember 2018," katanya.

TM ketika mengulas mengenai gangguan perkhidmatan Internet pada 18 Nov lepas, memberitahu gangguan tersebut berpunca daripada pemotongan beberapa kabel gentian semasa kerja-kerja pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) oleh kontraktor pihak ketiga di Sentul dan satu lagi insiden membabitkan kontraktor yang membina lebuh raya Pantai Barat di Sabak bernam.

Katanya, pembaikan pemotongan kabel gentian itu masih berjalan, TM telah mengoptimum rangkaian terjejas dengan mengubah trafik serta memulihkan perkhidmatan yang terganggu berkuatkuasa pukul 10 pagi hari ini.

"Sementara itu, kami turut mengketengahkan isu ini kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengelak kejadian yang sama berulang dan kami sedang mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya ke atas kontraktor terbabit," kata TM.

-- BERNAMA