Telekom Malaysia Berhad (TM) telah menyerahkan sejumlah RM2 juta tunai sebagai derma kepada “Tabung COVID-19”.

IKLAN

Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Pengerusi TM, Tuan Haji Rosli Man, kepada YAB Perdana Menteri dalam satu majlis ringkas di Putrajaya semalam.

“Tabung COVID-19” telah diwujudkan oleh Kerajaan Malaysia bagi meringankan beban golongan yang terjejas secara terus dengan pandemik COVID-19.

TM menerusi kenyataannya juga memaklumkan bahawa secara keseluruhan mereka telah menyumbangkan sebanyak RM5.5 juta dalam bentuk bekalan perubatan dan bekalan lain kepada golongan yang memerlukan, khususnya kepada pasukan barisan hadapan dan ahli masyarakat di seluruh negara.

IKLAN

TM yang juga merupakan pengerusi bersama dan ahli Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) atau GDRN, bersama-sama organisasi korporat lain, turut menyumbangkan sejumlah RM1 juta kepada Kementerian Kesihatan (MoH) dan menggerakkan pasukan sukarelawannya bersama ahli-ahli GDRN untuk mengedarkan bekalan perubatan ke 7 buah hospital di Lembah Klang.

Selain itu, hospital-hospital tersebut turut menerima 300 kotak bekalan bukan perubatan termasuklah kit kebersihan peribadi bagi kegunaan pegawai perubatan mereka.

IKLAN

Malah TM juga bekerjasama dengan Huawei, bagi menyumbangkan sebanyak 200,000 topeng muka dan 30,000 pasang sarung tangan kepada para pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas sepanjang tempoh PKP ini.

Sumber: TM Group