TM Memohon Para Pelanggan Mereka Bersabar

Keutamaan diberikan kepada pelanggan yang berada di dalam senarai menunggu.


Telekom Malaysia (TM) memaklumkan bahawa mereka kini sudah mula meneruskan aktiviti pemasangan unifi di premis-premis pelanggan yang terletak di kawasan Zon Hijau seperti yang diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula 22 April 2020.

Pasukan teknikal TM akan melayani sebarang isu perkhidmatan para pelanggan termasuklah yang melibatkan di dalam premis bagi aktiviti baik pulih, dengan syarat premis tersebut berada di kawasan Zon Hijau, sejajar dengan panduan yang telah ditetapkan oleh KKM dan MKN.

Sementara bagi pelanggan TM yang menetap di kawasan Zon Kuning dan Merah, aktiviti baik pulih akan dijalankan sehingga kotak agihan (Distribution Point – DP) sahaja.

Pelanggan TM perlu memasang sendiri peralatan pelanggan (Customer Premise Equipment – CPE) dengan bantuan daripada pasukan teknikal TM.

Walau bagaimanapun, aktiviti baik pulih akan diteruskan seperti yang sedang dilaksanakan pada masa ini bagi premis-premis (di dalam dan di luar) untuk hospital, klinik dan agensi-agensi kritikal lain.

Untuk pelanggan unifi Home baharu yang tinggal di kawasan Zon Kuning yang sedang menunggu pemasangan perkhidmatan jalur lebar fiber pula, mereka akan diberikan unifi Air sebagai penyelesaian sementara.

Perkhidmatan tanpa wayar ini boleh dinikmati oleh pelanggan TM yang menetap di dalam kawasan liputan LTE TM.

Pasukan pemasangan TM untuk unifi Air dan rakan penghantaran untuk kad SIM unifi Mobile akan melakukan penghantaran tanpa sentuhan.

Pelanggan juga tidak perlu menurunkan sebarang tandatangan.

Sebaliknya pelanggan hanya perlu perlu membaca nama dan nombor Kad Pengenalan semasa menerima bungkusan.

Tetapi TM meminta pengguna melengkapkan Borang Deklarasi Kesihatan digital yang disediakan oleh pihak mereka.

Ini kerana, sekiranya pelanggan atau mana-mana ahli keluarga pelanggan TM menunjukkan simptom COVID-19 atau baru sahaja pulang dari luar negara semasa sesi temujanji untuk pemasangan tersebut, kerja-kerja pemasangan atau baik pulih tidak akan diteruskan

TM juga menasihatkan supaya meminimumkan bilangan ahli keluarga yang ada di sekitar semasa kerja-kerja dilakukan serta tidak berjabat tangan.

Semua kerja pemasangan, baikpulih dan penyelenggaraan pula akan dilakukan dari jam 8.00 pagi sehingga 6.00 petang sahaja.

TM memaklumkan, keutamaan pemasangan dan baik pulih diberikan kepada pelanggan yang berada di dalam senarai menunggu dahulu, sebelum menjalankan aktiviti baharu.

Oleh itu, TM memohon para pelanggan mereka untuk bersabar sementara mereka terus memenuhi permohonan secara berperingkat disebabkan oleh jumlah permohonan yang tinggi.

Sumber: TM