Hari ini dilaporkan bahawa syarikat telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) sedang mencari pengagihan spektrum 700Mhz. Ini adalah kerana mereka mahu membekalkan akses jalur lebar tanpa wayar tetap (FWA) dalam kawasan luar bandar yang lebih luas.

Tambahan lagi, TM tidak berminat untuk ‘bermain’ dalam spektrum C-band (3.5GHz) kerana ia telah dipenuhi oleh pelbagai syarikat telekomunikasi yang lain. Dengan memilih 700MHz dalam kawasan luar bandar, TM boleh membekalkan liputan yang lebih luas dan juga kos lebih rendah.

Walaupun spektrum 3.5GHz mempunyai kelajuan rangkaian lebih pantas berbanding 700MHz, liputan yang lebih kecil menjadikan menara untuk spektrum 3.5GHz perlu dipasang lebih banyak. Ini menjadikan kos keseluruhan infrastruktur meningkat dan TM tidak berminat untuk membelanjakan kos yang tinggi.

Untuk spektrum 700MHz, ia boleh digunakan untuk kedua-dua dalam rangkaian 4G dan 5G. Buat masa ini TM tidak menyatakan niat dan halatuju untuk penggunaan spektrum 700MHz ini.

IKLAN

Sebelum ini, beberapa syarikat rangkaian telekomunikasi termasuk TM telah diagihkan rangkaian 700MHz. Namun, tidak lama selepas itu KKMM telah menarik semula pengagihan atas alasan pengurusan dan peruntukan spektrum adalah aset yang penting untuk pembangunan negara.

Sumber: TheEdgeMarket

IKLAN