TM Catat Aduan Terbanyak - MCMC

PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Telekom Malaysia (TM) mencatatkan bilangan aduan tertinggi berbanding syarikat telekomunikasi lain berdasarkan bilangan purata aduan bagi setiap 1,000 pelanggan, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC berkata aduan terbabit merangkumi rasa tidak puas hati pelanggan berhubung harga (21 peratus), ketiadaan liputan UniFi (16 peratus), gangguan perkhidmatan UniFi (13 peratus), bil (14 peratus), penyampaian perkhidmatan (14 peratus) dan lain-lain kategori (22 peratus), katanya.

“Kerajaan memandang serius tentang aduan kemerosotan penyampaian perkhidmatan TM ini,” kata MCMC dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut suruhanjaya itu, setakat ini ia menerima sebanyak 7,946 aduan mengenai perkhidmatan TM, peningkatan 43 peratus berbanding 4,528 aduan pada 2017.

Pendekatan yang diulangi TM dalam menangani aduan dengan menyatakan masalah teknikal serta meminta pelanggan bersabar, tidak boleh diterima, kata MCMC.

“Membiarkan pelanggan tanpa memberi penjelasan bukan cara operasi yang sepatutnya bagi syarikat berkaliber seperti TM,” kata MCMC sambil memberi contoh kejadian semalam apabila TM hanya memaklumkan gangguan perkhidmatan kepada pelanggan UniFI tanpa memberikan sebab.

MCMC berkata TM juga harus merasionalisasikan perbezaan harga di antara UniFi dan Streamyx yang berasaskan megabait sesaat (Mbps) agar pengguna dicaj lebih adil berdasarkan kelajuan yang mereka nikmati tanpa diskriminasi teknologi.

“TM perlu lebih telus dalam menangani pengguna dengan menawarkan pakej yang bernilai hebat dan tidak mengambil kesempatan daripada ketiadaan pilihan,” katanya.

Pada Sabtu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menggesa TM memberi penjelasan berhubung caj tinggi yang dikenakannya terhadap pelanggan perkhidmatan jalur lebar Streamyx dan menangani rungutan pengguna mengenai perkhidmatan itu.

Gobind berkata beliau telah mengarahkan MCMC agar menghubungi TM dan mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut dan satu laporan akan dikeluarkan minggu ini.

MCMC berkata sebagai penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap terbesar di negara ini dengan penguasaan pasaran sebanyak 85.97 peratus, ketiadaan tindakan daripada TM menjejaskan ramai rakyat Malaysia yang bergantung pada rangkaiannya untuk kegiatan profesional serta peribadi harian mereka.

“Pengguna menuntut perkhidmatan yang lebih baik berdasarkan harga yang mereka bayar kepada TM,” katanya.

MCMC berkata ia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap TM atau pemilik lesen penyedia perkhidmatan jalur lebar yang didapati melanggar peraturan.

-- BERNAMA