Tips Untuk Memastikan Bateri iPhone Masih Dalam Keadaan Sihat

Isu utama bagi pengguna iPhone pastinya permasalahan bateri yang cepat kehabisan kuasa. Peranti iPhone dan bateri boleh dikatakan bukanlah satu padanan yang baik, dan adakalanya anda baru sahaja mengecas, namun bateri hanya bertahan beberapa minit sahaja lantas menimbulkan persoalan, adakah bateri iPhone anda tidak sihat? Apakah langkah yang seharusnya diambil jika menghadapi masalah sebegini?

Untuk memantau keadaan semasa bateri di iPhone anda, ikuti langkah yang telah dikongsikan oleh Xavier Naxa, nama yang cukup sinonim dengan peranti Apple di Malaysia. Sebelum memperincikan soal ini, perkara penting yang anda perlu tahu adalah bateri lithium-ion digunakan pada semua model iPhone dan bateri jenis ini hanya akan bertahan sekitar 500 kali kitaran cas penuh(pengecasan 0%-100% bersamaan 1 kali kitaran cas) .

Ini kitaran bagi beberapa produk Apple yang lain:

  • iPod - 400 kali

  • iPad - 1,000 kali

  • Macbook - 1,000 kali

  • Apple Watch - 1,000 kali


Pada asasnya, apabila anda mengecas sesebuah produk keluaran Apple dari 0% - 100%, ia mewakili satu kitaran cas. Telefon pintar pada hari ini menggunakan bateri jenis lithium-ion ini, yang mana ia bersifat amat sensitif dengan keadaan sekeliling. Lebih-lebih lagi pada suhu panas atau sejuk yang melampau. Suhu yang sesuai adalah diantara 16' hingga 22' darjah celcius.

Adakah anda sedar bahawa Apple telah memperkenalkan Battery Health untuk menyemak kesihatan bateri iPhone? Anda boleh memantaunya dengan melihat di Settings - Battery - Battery Health.

Boleh rujuk pada ruang Maximum Capability, di mana ia akan menunjukkan peratusan, dan jika penunjuk memaparkan  80% hingga 100%, maka bateri tersebut masih dalam keadaan yang baik.



Di samping itu, anda juga digalakkan untuk melihat bahagian Peak Performance Capability. Sekiranya penunjuk memaparkan 'Your battery is currently supporting normal peak performance', ia membawa maksud iPhone anda tidak mengalami apa-apa masalah buat masa sekarang.

Namun, jika di iPhone anda menunjukkan seperti dalam gambar di bawah, itu bermakna bateri sudah "tidak sihat" dan sewajarnya diganti. Lama kelamaan, ia akan memberi kesan kepada prestasi iPhone.

Kapsyen: imej | Xavier Naxa


Selain itu, jika pada paparan menunjukkan seperti gambar di bawah ini pula, iPhone anda berkemungkinan mengalami masalah ketika pemasangan atau ia merupakan bateri tiruan.

Kapsyen: imej | Xavier Naxa


Bagi pengguna iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max, Apple telah menambahbaik perisian khas di mana ketiga-tiga peranti keluaran terbaru tersebut mampu meminimumkan kesan kepada prestasi iPhone sekiranya kapasiti maksimum bateri semakin menurun. Sila rujuk gambar di bawah:

Kapsyen: imej | Xavier Naxa


Jika anda masih tidak yakin dengan cara yang diterangkan di atas, dan masih merasakan bateri iPhone bermasalah, untuk pengetahuan anda, pihak Apple boleh melakukan ujian diagnostik untuk mengetahui kadar kesihatan bateri tersebut.

Anda hanya perlu membayar sekitar RM 60 untuk mendapatkan keputusan ujian tersebut, dan ini merupakan senarai kadar caj lain yang akan dikenakan dari cawangan Machine Malaysia:

Kapsyen: imej | Xavier Naxa


Namun, ada cara lain yang boleh membantu anda, sekiranya anda tidak mahu mengeluarkan wang. Sebelum itu, sila pastikan iPhone anda telah dikemaskini pada versi iOS yang terkini. Seterusnya, anda boleh cuba cara ini dengan memuat turun aplikasi Apple Support, dan tekan Get Support - pilih iPhone - Battery & Charging - Battery Replacement - kemudian pilih Schedule a call atau melalui chat.

Sekiranya pihak Apple mendapati bateri iPhone anda bermasalah, anda boleh menghantarnya terus ke Apple Authorized Service Provide (ASP) untuk penukaran. Berikut merupakan anggaran harga bagi penukaran tersebut:

  • Model iPhone SE sehingga iPhone 8 Plus - RM 199

  • Model iPhone X sehingga iPhone XS Max - RM 349


Namun, jika peranti anda masih mempunyai waranti, anda boleh menghantarnya ke ASP untuk penukaran bateri tersebut dan tiada kos bayaran yang akan dikenakan.

 

Sumber: Twitter Xavier Naxa

Berkaitan