Tips Menangani Masalah Kesesakan Rangkaian Perkhidmatan Semasa PKP

Sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keadaan trafik menjadi sesak berikutan lebih ramai pengguna meluangkan masa dengan melayari internet untuk mengisi masa yang ada ketika berada di rumah.

Untuk pengetahuan, masalah kesesakan rangkaian adalah berpunca daripada ramai pengguna yang menggunakan rangkaian tersebut di kawasan yang sama. Pengguna juga perlu memahami punca masalah ini berlaku adalah disebabkan banyak peranti mudah alih yang akan bersaing untuk mendapatkan sambungan pada rangkaian yang sama.



Apabila berlakunya kesesakan rangkaian ini, ia boleh memberi kesan kepada prestasi peranti pengguna seperti penurunan kelajuan data. Pengguna juga akan mengalami masalah seperti panggilan terputus walaupun telefon mempunyai isyarat disebabkan rangkaian tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menyambungkan panggilan.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=42&v=vqz0MsIyegk&feature=emb_title

Bagi mengatasi masalah kesesakan rangkaian, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) telah berkongsi beberapa tips mudah untuk menangani masalah rangkaian.

1. Tukar sokongan data mudah alih




Tukarkan sokongan data mudah alih anda kepada rangkaian 3G atau 2G berbanding 4G/LTE. Pengguna mungkin akan menerima data yang lebih perlahan dengan penggunaan rangkaian 2G atau 3G. Bagaimanapun, ia adalah alternatif yang berkesan apabila rangkaian 4G mengalami kesesakan.

2. Hadkan panggilan telefon


Berbanding membuat panggilan telefon, pengguna boleh menghantar kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) sahaja. Ini kerana, SMS adalah lebih mudah dihantar dan dengan itu panggilan telefon boleh dihadkan hanya untuk tujuan kecemasan.

Sekiranya anda gagal membuat panggilan telefon, tunggu 10 saat sebelum membuat panggilan semula.

3. Elak guna aplikasi yang memerlukan lebih data


masalah kesesakan rangkaian

Melalui perkongsian foto dan video, sudah pasti anda memerlukan data yang lebih banyak. Bagi mengatasi masalah ini, anda boleh mengelakkan mengguna aplikasi yang memerlukan peruntukan data yang banyak terutama sekali memuat naik video HD atau penstriman video.

4. Tukar tetapan video kualiti




Anda juga boleh menukar tetapan untuk menonton video dalam kualiti yang lebih rendah berbanding memilih kualiti video HD.

Terdahulu, Youtube telah mengambil langkah menetapkan penstriman video pada kadar resolusi 480p secara default di seluruh dunia. Ia bertujuan untuk mengurangkan kesesakan trafik penggunaannya.

5. Tutup aplikasi yang tidak diguna


Tip seterusnya, mungkin tidak ramai yang tahu mengenai aplikasi yang dibuka akan menyebabkan penggunaan data digunakan di belakang layar. Dengan itu, anda disarankan untuk menutup aplikasi yang tidak digunakan dan pantau jumlah data yang digunakan.

6. Nyahaktif kemaskini atau data sync


masalah kesesakan rangkaian

Pada sesetengah peranti, penyelarasan data atau data sync ditetapkan secara automatik. Contohnya, aplikasi e-mel yang sentiasa mengemaskini secara automatik dengan akaun pengguna yang boleh memperlahankan penggunaan data oleh aplikasi-aplikasi lain untuk mengakses rangkaian.

Begitu juga dengan kemaskini pada aplikasi-aplikasi di Play Store mahupun App Store. Sebagai langkah mengurangkan kesesakan rangkaian, anda boleh nyahaktifkan kemaskini atau data sync tersebut.

7. Restart telefon


Jika anda masih mengalami masalah yang sama, sebagai langkah terakhir anda boleh mencuba untuk restart peranti mudah alih anda.

Sumber: CFM