Tips Memulakan Jualan Di Shopee - Bukan Sekadar Berlawan Harga

Anda mungkin pernah terfikir untuk menjana pendapatan sampingan melalui Shopee, namun tidak tahu caranya. Melalui perkongsian Faiz Zainal di laman Facebook, terdapat beberapa perkara yang perlu dititik beratkan untuk menjual barangan di Shopee.

Bukan berlawan harga murah semata


Untuk menjual di Shopee, ia bukanlah dengan berlawan harga semata. Siapa yang tak mahukan barang murah bukan? Tetapi harga jualan murah bukan satu-satunya faktor untuk menarik pembeli.

Jadi, anda perlu tahu bagaimana anda memasarkan produk tersebut dan jenis produk juga memainkan peranan penting. Anda perlu membuat sedikit kajian berkaitan tren membeli rakyat Malaysia

Gambar yang berkualiti


Tips Menjual di Shopee

Jika anda berada di tempat pelanggan, adakah anda berminat untuk melihat gambar produk yang tidak berkualiti, kabur dan sewaktu dengannya?

Untuk itu, anda perlu meletakkan gambar yang lebih berkualiti dan mempunyai watermark sebagai salah satu cara untuk menjadikan pelanggan lebih mengenali jenama anda (branding awareness).

Apabila pelanggan kenal produk anda, bermakna mereka berpotensi untuk menjadi pelanggan anda pada masa akan datang.

Jaga perbualan dengan pelanggan




Seterusnya, anda perlu menjaga perlakuan atau kata-kata apabila berurusan dengan pelanggan. Pelanggan mungkin tidak membeli produk anda pada ketika itu, tetapi akan membeli pada masa yang lain.

Jika anda memberikan layanan yang buruk, kemungkinan besar mereka tidak akan membeli dan beralih kepada peniaga yang lebih baik. Anda juga perlu ingat konsep mouth-to-mouth di mana pelanggan tersebut akan mencadangkan anda kepada rakan-rakan mereka apabila menerima layanan yang baik atau sebaliknya.

Minta maaf bila salah


Kesilapan menghantar pesanan adalah perkara biasa apabila menerima banyak pesanan dalam satu-satu masa. Namun, jika itu terjadi, anda perlu mengakui kesilapan serta memohon maaf. Sebagai tanda permohonan maaf, hantar semula produk yang betul dan berikan hadiah percuma. Pasti sejuk hati pelanggan tersebut.

Elakkan menangguh penghantaran terlalu lama




Anda perlu menjaga masa penghantaran produk yang dipesan pelanggan kerana mereka pasti akan mencari produk yang boleh dihantar secepat mungkin. Sebagai contoh, jika anda hanya membuat pengeposan seminggu sekali, pelanggan pasti bosan menunggu.

Menurut Faiz, beliau akan membuat pengeposan pada hari yang sama jika dipesan sebelum 2 petang dan bergantung kepada stok yang ada.

Buat promosi bulanan




Dari anda menjual dengan harga yang murah, lebih baik jika anda mengadakan promosi diskaun bulanan. Tidak ada salahnya menjual lebih murah sedikit, tetapi ia satu kelebihan kepada perniagaan anda.

Anda perlu tahu, pelanggan akan merasa lebih teruja untuk membeli apabila melihat terdapat promosi diskaun pada produk yang ingin dibeli. Dengan itu, mereka pasti tidak ingin melepaskan peluang mendapatkan produk tersebut dengan harga promosi.

Ini kerana, jika tidak membeli pada waktu itu, mereka perlu menunggu tempoh yang agak lama untuk menikmati harga promosi itu kembali.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda. Untuk menaikkan jualan anda di Shopee, anda boleh ke sini.