TikTok Menawarkan Dana Pencipta Sebanyak US$200 Juta

tiktok dana

TikTok baru sahaja mengumumkan akan menawarkan dana pencipta sebanyak US$200 juta (~RM849 juta). Ia bertujuan untuk mengekalkan bakat pencipta-pencipta hebat di samping menambah pendapatan mereka.

Ini merupakan usaha pertama dari TikTok untuk membayar pencipta secara langsung untuk kandungan mereka. Sebelum ini, pencipta dapat mengewangkan striman langsung mereka, tetapi program baru ini akan membayar pengguna secara langsung untuk membuat video.

Pencipta akan menerima pembayaran berkala sepanjang tahun akan datang dan dana akan bertambah dari semasa ke semasa. TikTok tidak pula mengesahkan jika ada had berapa ramai pencipta yang akan menerima dana tersebut. Syarikat itu juga tidak mengatakan berapa kerap pembayaran akan dibuat atau berapa banyak pencipta dapat menjana pendapatan.

Sesiapa yang ingin memohon dana tersebut mestilah berumur 18 tahun ke atas, menyiarkan video asal secara konsisten, dan mencipta kandungan yang sesuai dengan garis panduan komuniti TikTok. Jumlah pengikut juga diperlukan tetapi TikTok tidak menyatakan berapa ramai yang diperlukan.

Platform ini akan mula menerima permohonan dari pencipta di Amerika Syarikat mulai bulan depan. Menurut TikTok, akan ada dana untuk diagihkan secara global tetapi masih belum ada pengesahan tentang bila perkara itu akan berlaku.

TikTok sudah membantu penciptanya menandatangani perkongsian jenama dan tawaran penajaan serta menyediakan dana untuk striman langsung. Selain itu, TikTok juga menawarkan Dana Pembelajaran Kreatif bernilai US$50 juta (~RM212 juta) untuk para guru yang menggunakan platform tersebut. Dana ini telah digunakan oleh 1,000 orang guru di Amerika Syarikat.

Buat masa ini, TikTok mempunyai kira-kira 1,400 orang pekerja di Amerika Syarikat dan baru-baru ini melepasi pencapaian 2 bilion muat turun seluruh dunia.



Pencipta boleh mengetahui lebih lanjut mengenai faktor dan syarat kelayakan penerimaan dana ini pada bulan hadapan.