TikTok Disaman, "Blackout Challenge" Punca Kematian Dua Kanak-Kanak

TikTok dilaporkan disaman di California selepas beberapa orang kanak-kanak meninggal dunia disebabkan "Blackout Challenge", cabaran mencekik diri sehingga pengsan.

Tuntutan yang difailkan di mahkamah negeri di Los Angeles menuduh perisian TikTok "sengaja dan berulang kali" menyiarkan "Blackout Challenge" yang membawa kepada kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di Texas dan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Wisconsin tahun lepas.

Peguam, Matthew Bergman, berkata, TikTok perlu bertanggungjawab kerana menyiarkan kandungan berbahaya kepada dua gadis muda itu.

Katanya lagi, TikTok melabur berbilion dolar untuk mereka bentuk produk secara sengaja yang mendorong kandungan yang disedari berbahaya dan boleh mengakibatkan kematian penggunanya.

Saman itu mendakwa bahawa algoritma TikTok mempromosikan "Blackout Challenge" kepada setiap gadis, yang mati akibat tercekik sendiri, di mana seorang menggunakan tali dan seorang lagi menggunakan tali (leash) anjing.

Turut disenaraikan kanak-kanak di Itali, Australia, dan tempat lain yang kematian mereka dikaitkan dengan cabaran yang sama.

TikTok, umum tahu, menampilkan dan mempromosikan pelbagai cabaran di mana pengguna merakamkan diri mereka mengambil bahagian dalam aksi yang kadangkala berbahaya.

Saman ini juga meminta hakim memerintahkan TikTok berhenti mengaitkan kanak-kanak melalui algoritmanya dan berhenti mempromosikan cabaran berbahaya, serta membayar ganti rugi tunai yang masih belum ditentukan.

Apa-apa pun, hendaklah kita sentiasa pantau tingkah laku anak-anak kita dan kandungan yang ditonton di TikTok.

Sumber: The Guardian