Tiga Ciri Baru Pada MIUI 11 Khusus Untuk Golongan Pelajar

Sebahagian daripada pengguna peranti Xiaomi dan sub-jenama mereka sudah mula menikmati sistem antaramuka terbaru, MIUI 11. Sejumlah pembaharuan telah dibawa pada sistem tersebut dan pastinya akan ada lagi yang bakal dikemaskini.

Golongan pelajar merupakan salah satu daripada peminat jenama tersebut dan untuk membantu mereka supaya lebih menumpukan kepada pelajaran, tiga ciri baru bakal disediakan.

Salah satu ciri tersebut bakal dikenali sebagai Focus Mode, berfungsi dengan cara menetapkan tempoh masa penggunaan peranti sehingga 90 minit. Dalam tempoh tersebut, peranti hanya boleh melakukan panggilan kecemasan dan mengambil gambar sahaja. Selain itu, ia juga boleh menyimpan statistik penggunaan ciri tersebut.



Seterusnya adalah Curriculum Mode, dimana secara kasarnya ia kelihatan seakan aplikasi kalendar biasa. Tiada maklumat lanjut mengenainya tetapi antara fungsi yang boleh digunakan adalah menaip nota pada hari yang dimahukan pengguna.



Ciri terakhir sekali ialah ciri lockscreen yang boleh diubah suai. Menerusinya, pengguna boleh mengubahnya dengan meletakkan warna yang berlainan, gambar mahupun emoji.



Ini dikatakan dapat membantu pelajar untuk melihat setiap maklumat tanpa perlu membuka telefon pintar.

Berdasarkan apa yang disenaraikan ini, ciri-ciri dilihat sesuai juga digunakan oleh pengguna biasa selain pelajar.Buat masa sekarang ia dikatakan masih diuji lagi dan tidak dapat dipastikan sama ada ia hanya untuk peranti versi China sahaja atau turut ditawarkan kepada pasaran global lain.

Sumber: MyDrivers