Tiga Beradik Daki Bukit 20 Minit Untuk Dapatkan Akses Internet

Berikutan keadaan semasa jumlah kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat naik, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 16 Januari lalu telah mengumumkan semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 (2021) akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula 20 Januari 2021.

Bagaimanapun, dengan jurang jaringan internet di bandar dan luar bandar, ada pihak yang sukar untuk mendapatkan capaian internet.

Perkara yang sama turut berlaku apabila tiga beradik dari Kampung Gana di Papar, Sabah terpaksa mendaki bukit yang terletak kira-kira 500 meter di belakang rumah mereka bagi mendapatkan capaian internet yang lebih baik.

Tidak seperti rata-rata pelajar lain yang hanya perlu membuka peranti atau komputer di rumah, tiga murid tersebut terpaksa mendaki bukit selama 20 minit sebelum dapat memulakan sesi PdPR.

Mereka turut berada di atas bukit itu sekitar tiga jam bagi mengikuti sesi PdPR masing-masing, sambil ditemani ibu atau bapa.

Ini kerana, liputan internet di kawasan rumah yang agak lemah menjadikan ia tidak memadai untuk membolehkan mereka melakukan pelbagai aktiviti PdPR. Liputan internet di kawasan rumah mereka juga tidak mampu untuk menyokong aplikasi seperti YouTube yang digunakan untuk PdPR.

Sumber: BERNAMA