Tidak Semua Pembangun Aplikasi Pelayar Setuju Dengan FLoC

Pada lewat Januari lalu, Google telah pun memaklumkan bahawa mereka akan menggantikan kuki pihak ketiga di dalam pelayar Chrome mereka dengan ciri baru yang dikenali sebagai Federated Learning of Cohorts (FLoC).

Google menyatakan FLoC sebagai ciri yang efektif bagi menggantikan kuki pihak ketiga.

Google menjelaskan, algoritma FLoC akan mampu mengimbas minat pengguna secara lebih menyeluruh menerusi data pelayaran pengguna sebelum ini bagi membolehkan pempamer iklan memaparkan iklan-iklan yang releven dan berkongsi data minat pengguna tersebut dengan pempamer iklan yang lain.

Ini bermakna, algoritma FLoC secara automatik akan sentiasa memerhati pelayaran pengguna dan sekaligus mencipta profail pengguna terus dari aplikasi pelayar tersebut.

Ini sekaligus akan memberikan manfaat dan keuntungan yang lebih kepada perniagaan-perniagaan yang bergantung kepada iklan-iklan mendapat trafik pengguna untuk masuk melayari laman sesawang mereka.

Walaubagaimanapun, tidak semua pembangun aplikasi pelayar setuju untuk mengaplikasikan FLoC ke dalam pelayar mereka.

Sepertimana yang ditegaskan oleh pembangun pelayar Vivaldi bahawa mereka sekali-kali tidak akan perkenalkan FLoC dalam pelayar mereka.

Ini kerana dakwa mereka, FLoC adalah langkah yang merbahaya ke atas privasi pengguna internet.

"...this new advertising technology intends to replace third-party cookies and related technologies like third-party localStorage. This clearly is a dangerous step that harms user privacy." Vivaldi.

Malah mereka juga mendakwa, FLoC hanya akan menyebabkan data privasi pengguna lebih terdedah berbanding sebelum ini.

Vivaldi menegaskan bahawa walaupun pelayar mereka adalah berasaskan kepada enjin Chromium, tetapi mereka telah melakukan modifikasi ke atas enjin tersebut sekaligus menyekat FLoC daripada dimuatkan dalam pelayar mereka.

"We will not support the FLoC API and plan to disable it, no matter how it is implemented. It does not protect privacy and it certainly is not beneficial to users, to unwittingly give away their privacy for the financial gain of Google." Vivaldi.

Buat masa ini, Google masih menguji teknologi algoritma FLoC yang sudah mula diuji sejak tahun lalu dalam pelayar Chrome.

Tidak dipastikan bilakah Google akan mula mengimplimentasi sepenuhnya teknologi algoritma FLoC ke dalam pelayar mereka.

Tetapi jika ia mula dilaksanakan, adakah anda akan bersetuju dan okay saja dengan apa yang dilakukan Google?

Atau anda akan mula beralih kepada aplikasi pelayar yang lebih menjamin privasi anda?

Sumber: Google, Vivaldi, Web.Dev, GitHub