Tidak Perlu Kad, Bank Singapura Guna Imbasan Wajah Di Mesin ATM

OCBC Bank baru-baru ini telah melancarkan penggunaan imbasan wajah di mesin ATM di Singapura.

Sebanyak 8 mesin ATM telah menerimanya. Namun demikian, buat masa sekarang fungsinya hanya terhad untuk menyemak baki akaun sahaja.

Walau bagaimanapun, fungsi pengeluaran wang tunai akan hadir di 550 ATM di Singapura yang dijangka tersedia bermula Jun ini.

Kapsyen: Sumber: CNA


Selain itu, OCBC turut merancang akan membawakan perkhidmatan lain pula seperti, deposit wang, pemindahan wang ke bank lain, tambah nilai dan bayaran kad kredit.

Walaupun pembayaran digital sudah mula digunapakai secara meluas, tetapi OCBC berkata penggunaan ATM masih lagi dilakukan setiap hari.

Untuk pengetahuan, imbasan wajah di ATM ini menggunakan teknologi SingPass Face Verification yang dibangunkan pihak berkuasa tempatan.

Bagi mengaktifkan fungsi imbasan wajah, pengguna terlebih dahulu memilih perkhidmatan ATM pilihan mereka. Seterusnya, mereka perlu memasukkan nombor kad pengenalan.

Kapsyen: Sumber: CNA


Kemudian, pengguna diminta untuk memandang kamera yang dipasang pada ATM bagi imbasan wajah dilakukan.

Tambahan lagi, imbasan wajah tersebut akan disemak menerusi pangkalan data biometrik di Singapura untuk pengesahan.

Setelah selesai, pengguna boleh terus menjalankan urusan mereka di ATM.

Melihat kepada ini, sebenarnya ia banyak membantu terutama jika pengguna terlupa membawa kad ATM atau kehilangannya.

Sumber: CNA