"Tidak Perlu Cross-Play Kerana PlayStation Adalah Yang Terbaik" - CEO SONY

Sony nampaknya masih berdegil apabila kekal dengan pendirian mereka untuk tidak menyokong fungsi permainan cross-play secara menyeluruh bagi konsol PlayStation mereka. Pendirian itu ditegaskan sekali lagi pada acara IFA yang sedang berlangsung di Berlin ketika ini.

Cross-play adalah satu fungsi khas di mana ia membenarkan pemain sebuah konsol permainan bermain dalam permainan video yang sama dengan pemain yang menggunakan konsol berbeza. Sony sebelum ini hanya membenarkan fungsi berkenaan dijalankan bersama dengan PC sahaja.



Tiada cross-play yang dibenarkan pada konsol lain seperti Xbox One dan Nintendo Switch. CEO-nya, Kenichiro Yoshida telah menegaskan bahawa mereka tidak perlukan fungsi tersebut kerana PlayStation adalah 'tempat' terbaik untuk bermain.

Ia mungkin akan mengecewakan para pemain kerana mereka tidak akan dapat bermain bersama dengan rakan-rakan yang menggunakan konsol selain daripada PlayStation. Diharapkan Sony akan mempertimbangkan semula keputusan ini, atau mungkin boleh diketengahkan bagi konsol PlayStation 5 nanti.

 

Sumber