Tiada Lagi Storan Percuma Untuk Docs, Sheets Dan Slides Dalam Google Drive

Google baru sahaja membuat perubahan polisi ke atas perkhidmatan Google Photos. Terbaru, Google turut mengumumkan perubahan polisi itu turut melibatkan perkhidmatan seperti Docs, Sheets, Slides dan sebagainya.

Bermula 1 Jun 2021, kesemua fail Docs, Sheets dan Slides dan perkhidmatan lain yang disimpan dalam Google Drive akan diambil kira sebagai kuota Google Account yang diberikan secara percuma sebanyak 15GB.

Kuota ini juga termasuk mana-mana gambar atau video yang dimuat naik pada Google Photos.



Bagaimanapun, fail sedia ada tidak akan dikira sebagai kuota storan tersebut, melainkan fail itu telah diubahsuai pada atau selepas 1 Jun 2021.

Selepas 1 Jun 2021, Google turut menyatakan kandungan perkhidmatan yang tidak digunakan selama dua tahun akan dipadam secara automatik. Selain itu, jika had storan yang diberikan telah penuh dalam masa dua tahun, Google mungkin akan memadam kandungan perkhidmatan Gmail, Drives dan Photos.

Namun, Google akan memaklumkan kepada pengguna terlebih dahulu sebelum memadam mana-mana kandungan tersebut.

Dengan perubahan polisi ini, anda mungkin boleh berfikir untuk membuat langganan storan Google One yang bermula RM8.49 sebulan atau melanggan Apple One.

Sumber: Google