Tiada Lagi Sokongan Aplikasi Twitter Bagi iOS 9 Dan Sebelumnya

Twitter telah mengumumkan bahawa aplikasi Twitter iOS mereka tidak lagi menyokong peranti Apple yang menggunakan iOS 9 dan sebelumnya. Ia dibuat melalui kemaskini terbaru mereka bagi sistem operasi berkenaan yang dilancarkan di App Store baru-baru ini.

Ini bermakna, pengguna yang menggunakan sistem iOS 10 dan ke atas sahaja yang akan dapat menikmati kemaskini Twitter terbaru ini. Keputusan ini dilihat relevan oleh kebanyakan pihak kerana iOS 10 telah dilancarkan kira-kira dua tahun yang lalu dan kebanyakan pengguna peranti Apple sudah menggunakannya hari ini.

Tambahan pula, menurut data yang dikemukakan oleh pihak Apple, hanya lebih kurang 5% sahaja pengguna yang masih menggunakan iOS 9 dan ke bawah hari ini. Maka, Twitter telah menilai jumlah tersebut sebagai 'kerugian yang boleh diterima'.

Untuk rekod, Twitter hari ini mempunyai kira-kira 335 juta pengguna bulanan yang mana kebanyakannya menggunakan platform mudah alih iOS dan Android.

Buat masa ini, pengguna iOS 9 dinasihatkan agar menaik-taraf peranti anda ke sistem operasi yang lebih terkini agar dapat menikmati fungsi dan ciri baru yang terdapat pada kemaskini Twitter.

 

Sumber