Tiada Lagi Pemasangan RFID Percuma, Caj RM35 Akan Dikenakan Bermula 15 Februari Ini

Touch 'n Go sedia menawarkan pemasangan pelekat RFID tanpa mengenakan sebarang bayaran. Namun begitu, promosi pemasangan secara percuma itu telah pun berakhir pada semalam 11 Februari 2020.

Berdasarkan perkongsian di Facebook, caj sebanyak RM35 akan dikenakan kepada pengguna yang memasang pelekat tersebut bermula 15 Februari yakni pada Jumaat ini.



Dalam pada itu, pada hari ini, 12 Februari sehingga 14 Februari, pusat pemasangan RFID akan ditutup bagi memberi laluan kepada proses penyelenggaraan sistem. Ia akan dibuka semula pada hari berikutnya.

Tidak hanya terhad sebagai kaedah bayaran tol, teknologi RFID ini akan turut dikembangkan lagi kepada bayaran untuk parkir, isian minyak serta belian pandu laju. Kesemua kemudahan yang disebutkan bakal kita lihat pada separuh kedua tahun 2020 dan tahun hadapan.

Untuk senarai plaza tol yang sudah mengimplementasikan RFID anda boleh tekan pautan ini.