Tiada Lagi Kamera Zeiss Pada Telefon Nokia Selepas 16 Tahun

Syarikat induk Nokia, HMD Global, mengesahkan bahawa mereka telah menamatkan kolaborasi dengan syarikat kamera Zeiss, dalam menyediakan perkakasan optik untuk telefon Nokianya.

Kolaborasi antara kedua-dua syarikat yang terjalin sejak tahun 2005 ini sebenarnya telah berakhir pada tahun 2021, namun kali ini secara rasmi ia disahkan dan diumumkan oleh HMD Global.

Ini juga bermakna telefon Nokia XR20 adalah yang terakhir daripada HMD Global yang direka dengan perkakas Zeiss di dalamnya.

Bagaimanapun, sebab kenapa kerjasama ini ditamatkan tidak didedahkan.

Sepanjang kerjasama mereka, Nokia bekerjasama dengan Zeiss untuk menambah baik optiknya untuk produk mereka.

Nokia kemudiannya menjual perniagaan telefon pintarnya kepada Microsoft, dan kemudian melesenkan penjenamaannya kepada HMD Global untuk membuat telefon dengan jenama Nokia.

Kemudian HMD Global bekerjasama dengan Zeiss pada tahun 2017 untuk menambah baik kamera telefon pintarnya.

Ketika itu, perjanjian tersebut bukan sahaja merangkumi optik kamera, tetapi juga untuk Zeiss bekerjasama dalam sensor dan algoritma pengimejan baharu dengan HMD Global.

Ia lalu menghasilkan beberapa perkakasan kamera yang mengagumkan di dalam telefon seperti Nokia 9 PureView dan Nokia 8.3.



Pada penghujung tahun 2020, Zeiss mengumumkan kerjasama baharu dengan vivo, dan telah tampilkan perkakasan optiknya pada siri vivo X80 baru-baru ini.

Sumber: Nokiamob