Tiada Lagi Akses PlayStation Store Untuk PS3, PS Vita Dan PSP Bermula Julai Ini

Sony semalam baru sahaja mengesahkan bahawa tiada lagi akses PlayStation Store (PS Store) yang diberikan buat pengguna PS3, PS Vita dan PSP bermula Julai tahun ini.

Menurut Sony, PS Store untuk PS3 dan PS Vita akan ditutup pada 27 Ogos sementara PSP pula pada 2 Julai 2021.

Jadi, apakah kesan penutupan ini kepada pengguna?

Buat makluman, pengguna masih lagi dapat memuat turun permainan yang telah dibeli menerusi platform ini termasuk tebusan baucar permainan.

Namun, pengguna tidak lagi dapat membeli permainan digital di kesemua platform tersebut. Malah, pembelian dalam permainan (in-game purchase) juga tidak boleh dilakukan.



Selain itu, segala baucar PSN Wallet untuk melakukan pembelian di PS Store turut tidak boleh digunakan.

Meskipun begitu, sekiranya pengguna masih mempunyai baki PSN Wallet, ia boleh dipakai pada platform baharu seperti PS4 atau PS5.

Dengan pengumuman ini, bermakna PS3, PS Vita dan PSP sudah mencapai penghujungnya dan bakal menjadi sejarah.

Oleh itu, jika anda pengguna tegar konsol dari Sony ini, anda perlu menaik taraf kepada konsol masa kini, sekurang-kurangnya PS4.

Sumber: PlayStation