Tetikus Tanpa Wayar G Pro Diperkenalkan Logitech Dengan Harga RM 699

Tempoh hari Logitech telah memperkenalkan sebuah tetikus yang direka khas untuk permainan e-Sukan, G Pro Wireless Gaming.

Semua sudah maklum bahawa kebanyakkan pemain permainan video lebih menggemari tetikus berwayar kerana prestasinya lebih baik berbanding tanpa wayar.

Namun itu bukanlah penghalang kepada Logitech untuk menghadirkan sebuah tetikus tanpa wayar, disasarkan untuk golongan profesional dalam permainan video.

Tampil dengan teknologi sensor HERO (high efficiency rated optical) dengan tahap kepekaan 16,000 DPI mampu memberikan pengalaman permainan yang terbaik.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sambung Lightspeed Wireless yang boleh mengurangkan masalah lag ketika proses menghantar input ke komputer.

Dikatakan Logitech mengambil masa selama dua tahun untuk membangunkan model ini disamping bekerjasama dengan lebih dari 50 pemain video profesional.



Menyerikan lagi adalah tren sistem pencahayaan RGB menerusi sistem LightSync RGB.

Pengecasan penuh mampu memberikan kuasa kepada tetikus dalam tempoh 48 jam dan disokong pengecasan tanpa wayar tetapi ia turut disertakan dengan kabel pengecas dari dalam kotak.

Bakal dijual pada harga RM699, ia sudah ditawarkan disemua peruncit dan pengedar sah Logitech.