Tetikus Razer Basilisk X HyperSpeed Dan Basilisk Ultimate Diperkenalkan

Razer merupakan jenama yang terkenal dengan peralatan gaming yang meliputi dari tetikus, monitor, papan kekunci dan fon telinga. Menambah model tetikus berfokuskan gaming tanpa wayar, Razer memperkenalkan Basilisk X HyperSpeed dan Basilisk Ultimate.

Bersama-sama model baharu ini, ia membawakan teknologi HyperSpeed yang sebelum ini telah dilancarkan bersama-sama tetikus Razer Viper Ultimate. Ia menjanjikan 25% lebih pantas dengan lengah klik kurang dari 195 nano saat. Kedua-dua model tetikus seakan serupa namun terdapat perbezaan spesifikasi penting disebabkan harga yang berbeza.

Bermula dengan Razer Basilisk Ultimate, ia mempunyai spesifikasi tertinggi antara kedua tetikus tersebut dengan sensor 20,000 DPI, 11 butang boleh diprogram, roda skrol dengan kawalan ketengangan, kaki tetikus daripada PTFE (polytetrafluoroethylene) yang kalis air serta sokongan lampu RGB.  Untuk sambungan, ia menyokong rangkaian Bluetooth dan sambungan 2.4Ghz wireless. Mengunakan roda skrol, pengguna boleh menyimpan sehingga 5 profil berbeza.



Seterusnya adalah Razer Basilisk X HyperSpeed. Model ini adalah model yang lebih berpatutan tetapi pada masa yang sama masih membawakan pemfokusan kepada sambungan tanpa wayar yang terbaik. Basilisk X HyperSpeed mempunyai sensor optikal 16,000 DPI dengan 6 butang boleh diprogram dan tanpa lampu RGB. Model ini juga menyokong sambungan 2.4Ghz dan Bluetooth. Tetapi tiada kaki PTFE yang disertakan.



Untuk hayat bateri, Razer mengatakan Basilisk Ultimate boleh bertahan selama 100 jam (tanpa lampu) untuk sekali cas penuh, manakala 285 jam untuk Basilisk X HyperSpeed.

Basilisk Ultimate dijual pada harga $149.99 USD (~RM619) manakala Basilisk X HyperSpeed pada harga $59.99 USD (~RM243). 

Sumber: Razer

Berkaitan